12 pelumba kelahiran P. Pinang dapat insentif khas KN

Admin

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT TENGAH – Seramai 12 anak kelahiran negeri ini dipilih menerima RM5,000 insentif khas Dana Pelumba Persendirian Pulau Pinang pada pusingan kedua Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di perkarangan Stadium Batu Kawan di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, Kerajaan Negeri didorong memberikan insentif tersebut selepas kejayaan pelumba negara, Khairul Idham Pawi menjuarai Kejohanan MotoGP Dunia dalam Kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina lalu.

“Sekiranya respons yang diterima adalah baik dan dapat memberikan motivasi kepada pelumba, kemungkinan Kerajaan Negeri akan meneruskan insentif ini pada masa akan datang,” katanya merangkap Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat kepada pemberita.

Mohd. Rashid menyampaikan sumbangan itu kepada promoter Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Safe Aim Mutual Sdn. Bhd. sambil disaksikan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Justeru, Mohd. Rashid turut menyeru semua pihak tampil menaja bakat baru kelahiran negeri ini supaya boleh menempa nama seperti Khairul Idham di peringkat antarabangsa.

“Memandangkan sukan ini memerlukan kos yang tinggi, saya berharap agar sumbangan ini dapat membantu pelumba persendirian yang tidak mendapat tajaan daripada mana-mana pihak,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.