2 tokoh terima anugerah pingat tanda penghargaan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan terhadap negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas baru-baru ini mengurniakan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) kepada Pengerusi bagi Supervisory Board of B. Braun Melsungen AG, iaitu pembekal global bagi pasaran penjagaan kesihatan beribu pejabat di Melsungen, Northen Hesse, Jerman, Datuk Prof. Dr. H.C. Ludwig Georg Braun yang membawa gelaran Datuk Seri di sini.

Turut menerima pengiktirafan adalah Bishop Emeritus Antony Selvanayagam yang menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.

Dilahirkan pada 21 September 1943 di Jerman, Braun memulakan kerjaya menerusi latihan vokasional sebagai pakar perbankan di Deutsche Bank AG. Menamatkan pengajian dalam bidang perniagaan praktikal di United Kingdom dan Amerika Syarikat sebelum mengambil alih pengurusan Laboratorios Americanos S.A., Niteroi, R.J., di Brazil pada tahun 1968 serta membangunkan perniagaan eksport di Amerika Latin.

Pada tahun 1971, beliau kembali ke Jerman dan menyertai Lembaga Pengarah Pengurusan di B. Braun Melsungen AG dan merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah tersebut bermula pada tahun 1977 sehingga 2011.

Dalam pada itu, Braun juga merupakan Presiden Kehormat bagi The German  Association of Chambers of Commerce and Industry (DIHK), ahli bagi The State Synod of the Evangelical Church of Kurhessen- Waldeck serta turut bergiat aktif sebagai Lembaga Pengarah bagi pelbagai persatuan dan yayasan kebajikan.

B. Braun merupakan pembekal global bagi pasaran penjagaan kesihatan dengan  produk-produk untuk anesthesia, perubatan intensif, kardiologi, rawatan darah extracorporeal dan pembedahan serta pelbagai lagi perkhidmatan-perkhidmatan sampingan lain.

B.Braun mempunyai 51,000 kakitangan di 61 buah negara seluruh dunia. Kilang B. Braun di Bayan Lepas, di sini mempunyai lebih daripada 6,800 kakitangan.

Syarikat tersebut telah menjana penjualan sebanyak EUR 5.17bn. pada tahun 2013.

Dalam pada itu, Bishop Emeritus Antony dilahirkan di Pahang pada 24 Oktober 1935. Beliau merupakan Bishop di The Diocese of Penang yang ke-empat. Menyertai kolej untuk bakal Paderi di Singapura pada tahun 1961 sebelum meneruskan pengajian di College General Penang pada tahun 1964.

Pada 20 Disember 1969, beliau dilantik sebagai Paderi dan bertugas di St. Thomas Church, Kuantan, Pahang. Dilantik sebagai Auxiliary Bishop of Archdiocese of KL pada 6 Mac 1980 sebelum menjadi Bishop pada 1 September 1980.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.