20 asnaf terima sumbangan, bubur lambuk

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

TELUK BAHANG – Bulan Ramadan disambut dengan penuh syukur dan ceria oleh 20 asnaf di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau apabila menerima sumbangan zakat berupa beras, hamper barang-barang keperluan asas serta bubur lambuk baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid berkata, sumbangan zakat tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada komuniti bagi meringankan bebanan dalam menghadapi bulan Ramadan ini.

“Sumbangan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan bantuan, contohnya warga emas yang terlantar dan uzur, ibu-ibu tunggal dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Semoga sambutan Ramadan kali ini lebih berkat dan harap sumbangan disumbangkan memberi keriangan kepada mereka,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Selain sumbangan zakat, Halil Sabri turut berkesempatan mengedarkan hampir 350 bekas bubur lambuk kepada penduduk di sini.

Sumbangan dari rumah ke rumah sekitar Taman Nelayan turut diadakan dan ia disampaikan sendiri oleh beliau.