48 keluarga tarik nafas lega dapat rumah baharu

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BATU UBAN – Seramai 48 keluarga di Kampung Batu Uban di sini menarik nafas lega apabila teka-teki untuk  memperoleh pampasan pengambilan tanah terjawab dengan masing-masing menerima surat pengesahan perolehan ruma daripada Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Batu Uban, Dr. T. Jayabalan ketika ditemui mengumumkan perkara tersebut dalam suatu majlis ringkas penyerahan borang-borang permohonan rumah di sini.

Kerajaan Negeri sentiasa ambil peduli hal ehwal rakyat dan terbukti apabila 48 keluarga dari Kampung Batu Uban di sini bakal menduduki rumah baharu kelak.

“Setiap keluarga akan menerima satu unit rumah kos sederhana rendah dengan nilai RM72,500 berkeluasan 750 kaki persegi sebagai ganti.

“Manakala, 13 keluarga lain turut diberi keistimewaan di mana mereka (keluarga) berjaya membeli rumah dengan harga RM30,000 setiap satu menerusi skim perumahan ditawarkan pemaju,” jelas beliau.

Sebelum ini, keluarga-keluarga terbabit mengisi borang-borang permohonan berkaitan yang kemudian diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Batu Uban, Tahir Yahaya kepada Jayabalan untuk diserahkan kepada pemaju.

Menurut beliau, pihak pemaju, Asia Green Group telah membeli tanah di kawasan terbabit pada tahun 2013 untuk dibangunkan perumahan baharu.

Sebagai ganti pengambilan tanah, setiap keluarga menerima pampasan menerima pampasan satu unit rumah dalam projek berkenaan.