51% kediaman bertingkat, 30% kediaman bertanah patuhi dasar asing sisa sejak 1 Jun – Exco

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BATU UBAN – Secara umumnya, sebanyak 51 peratus kediaman bertingkat dan 30 peratus kediaman bertanah mematuhi arahan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca sejak ia mula dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.

Perkara tersebut dimaklumkan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika membuat pemantauan di salah sebuah kediaman bertingkat di sini baru-baru ini.

Menurut Kon Yeow, peratusan tersebut adalah berdasarkan data rawak diperoleh daripada Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang menjalankan pemantauan di 152 skim kediaman bertingkat serta beberapa kawasan kediaman bertanah sebelum Aidilfitri lalu.

“Daripada 1,253 skim kediaman bertingkat di seluruh kawasan pulau, sejumlah 152 (skim) telah dipantau dan 78 daripadanya, iaitu 51 peratus mematuhi dasar pengasingan ini.

“Manakala, bagi kediaman bertanah, hanya 30 peratus sahaja mematuhi arahan ini. Walau bagaimanapun, ini bukanlah bererti kita gagal kerana ia (dasar) baru sahaja bermula.

“Kediaman bertanah tidak seperti kediaman bertingkat yang persekitarannya dapat dikawal, tetapi kita (Kerajaan Negeri) akan terus memperhebatkan publisiti, pemantauan dan program-program kesedaran,” ujarnya ketika membuat pemantauan di beberapa kediaman bertingkat di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan, Ar. Yew Tung Seang (Setiausaha Bandaraya MBPP) dan wakil- wakil jabatan MBPP.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, pemantauan dilakukan demi memastikan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca dipatuhi semua isi rumah di Pulau Pinang.

“Untuk kediaman bertingkat, pemantauan dijalankan bagi memastikan adakah Badan Pengurusan Bersama (JMB) telah mula mengambil tindakan sewajarnya dengan menyediakan kawasan serta bekas khas untuk penghuni mengasingkan sisa.

“Manakala, bagi kediaman bertanah, pihak MBPP akan melekatkan pelekat khas dasar ini di setiap tong sampah isi rumah unit kediaman yang gagal mematuhi arahan dasar berkaitan sebagai makluman lanjut,” jelasnya.


Cateogry: Hijau

Comments are closed.



Latest Articles

Like Our Facebook Page

Download Buletin Mutiara

Buletin Mutiara Videos

Recent Comments

  1. Link telah dibaiki. Sila cuba lagi sekal... in Octopus bridge is going down
    on June 8, 2013
  2. Buletin Mutiara 16-30 Mei 2013 Edisi Bah... in Octopus bridge is going down
    on June 8, 2013

Archives