6 tahun urus kes anak KM dituduh cabul dipersoal

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mempersoal kelewatan pihak berkaitan menguruskan kes anak lelakinya yang dituduh mencabuli rakan sekolah pada enam tahun lepas.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian kepada pemberita, selepas dirakam keterangan polis di Pejabat Ketua Menteri pada 2 Mac lalu.

“Saya pun rasa hairan, mengapa begitu lama masih belum ada tindakan.

“Tentulah saya mahu teruskan kes ini dan rujuk ke mahkamah, sebab itu saya membuat aduan polis atas nasihat polis sendiri sebelum ini.

“Kenapa ambil keterangan sekarang tanya sama ada saya mahu teruskan kes dan dakwa orang jahat ini di  mahkamah, sekarang,” soalnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada sidang
media di sini.

Sebelum itu, Guan Eng yang ditemani Pegawai Khas Undang-Undangnya, Raja Syarafina Raja Shuib dirakam  keterangan oleh dua pegawai polis.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih bagaimanapun merakamkan penghargaan
kepada dua pegawai polis berkenaan kerana datang merakamkan keterangan kes berkaitan.

Tahun 2011, beberapa blog mesra pembangkang Pulau Pinang telah menyiarkan laporan anak lelaki Guan Eng
mencabuli rakan sekolahnya.

Blog berkenaan turut mendakwa bahawa keluarga mangsa kononnya telah dibayar RM200,000 untuk menutup mulut berhubung kejadian berkaitan.

Pun begitu, tular di media sosial bahawa identiti sebenar perempuan yang dituduh mangsa cabul anak Guan Eng itu sebenarnya adalah pemain catur profesional warganegara Hong Kong, serta direkodkan tidak pernah bertandang ke
Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari ketika menjadi Pegawai Khas Ketua Menteri ada membuat aduan polis pada 31 Oktober 2011.