60 peserta sertai pertandingan boling SBM Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng melahirkan rasa kagum terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Society of Blind (SBM) Cawangan Pulau Pinang yang aktif menganjurkan beberapa pertandingan sukan melibatkan golongan cacat penglihatan di sini.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng pada majlis Perasmian Pertandingan Tenpin Boling Peringkat Zon Utara dekat Classic Bowl di sini baru-baru ini.

“Saya difahamkan SBM Pulau Pinang sebelum ini aktif menganjurkan pelbagai acara sukan termasuk Ping Pong Piala TAR, dam haji, membaling anak panah dan lain-lain membabitkan golongan cacat penglihatan.

“Hari ini pula, buat julung kalinya SBM Pulau Pinang dengan jayanya menganjurkan pertandingan boling melibatkan 60 peserta (normal dan cacat penglihatan) SBM cawangan negeri utara Semenanjung.

“Malah, sebagai tuan rumah, Pulau Pinang menghantar jumlah peserta paling ramai iaitu 20 orang,” ucapnya pada majlis berkaitan.

Tambah Yuee Harng, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada acara-acara seperti itu dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘Negeri Sihat’, di samping meningkatkan taraf kualiti hidup dan kesihatan.