7, 500 penjaja, peniaga kecil terima manfaat pengecualian bayaran lesen secara one-off

Admin

SEBERANG JAYA – Atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, seramai 7,500 penjaja dan peniaga kecil menerima manfaat daripada insentif pengecualian bayaran lesen secara one-off tahun ini.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pengecualian itu diberikan kepada semua penjaja yang memegang lesen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk MPSP.

“Berdasarkan semakan Jabatan Perlesenan, sehingga 14 Februari 2018, terdapat 631 penjaja telah memperbaharui lesen melibatkan wang berjumlah RM16,987.65.

“Untuk tujuan itu, MPSP mengadakan program bayaran balik lesen yang telah dijelaskan bagi tahun ini pada 6 Mac di Auditorium MPSP,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MPSP kali kedua di sini baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Rozali mengingatkan para pemegang lesen penjaja agar memperbaharui lesen masing-masing untuk terus menikmati insentif berkenaan.

“Lesen perlu diperbaharui, tapi penjaja dan peniaga kecil tidak perlu membuat apa-apa bayaran bagi lesen yang dikeluarkan itu.

“Pembaharuan lesen boleh dibuat di Pejabat MPSP (Bandar Perda) atau mana-mana Pejabat Cawangan MPSP sama ada di Jawi atau Kampung Jawa,” jelasnya.

Tambah Rozali, selain pengecualian bayaran lesen, Kerajaan Negeri juga sejak tahun 2009 telah meluluskan pemberian potongan 50 peratus bayaran lesen penjaja bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan.

“Bagi penjaja bergerak, mereka hanya perlu membayar sebanyak RM30 setahun berbanding kadar sebelumnya iaitu RM60, manakala bagi penjaja statik (RM15 setahun) berbading RM30 sebelum ini,” ujarnya.