Abang Din bangga kekal resepi tapai warisan ibu

NORDIN Yusuf atau Abang Din.
NORDIN Yusuf atau Abang Din.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

BUNGKUSAN-bungkusan kecil molek daun pisang berbentuk piramid diatur dengan begitu rapi di dalam bekas khas, amat tertarik penulis melihatnya!

 

Sebelum sesi temuduga bermula, penulis dan juga jurugambar bertugas diberi peluang mencuba ia. Telah dibungkus dalam tempoh 24 jam sebelum itu, rasanya sudah cukup sedap bagi penulis.

 

Menurut Abang Din (lebih dikenali) atau nama sebenar Nordin Yusuf, 58, tapai resepi tinggalan turun-temurun arwah ibunya paling elok dimakan setelah 30 jam daripada tempoh masa ia dibungkus.

 

Malah, katanya yang menetap di Taman Selesa, Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU), bagi tempahan, seseorang pelanggan perlu memaklumkan dalam tempoh lima hari sebelum tarikh tapai diambil.

 

“Ini adalah kerana kepelbagaian persediaan yang perlu dibuat seperti mencari daun pisang, bahan-bahan dan juga tempoh masa yang diperuntukan untuk ia (tapai) ‘masak’,” katanya yang ditemani isterinya, Nor Azah @ Norain Ismail, 49.

 

Telah mengusahakan perusahaan tersebut dalam tempoh 10 tahun, Abang Din dan Kak Norain masih mengamalkan pantang larang membuat tapai yang diwarisi secara turun-temurun.

 

“Ada pantangnya, kalau tak ikut, tapai akan menjadi tidak manis, jadi merah, masam dan tawar.

 

“Kerja buat tapai ni remeh sikit. Kalau dulu, kita letak dalam tempayan, tutup dengan kain batik, ikat. Malah, pintu, tingkap juga perlu semua ditutup masa proses membungkus tapai. Perempuan yang datang ‘kotor’ adalah tidak dibenarkan membungkus.

 

“Namun, kini, kami tidak ikut sangat pantang larang berkaitan. Alhamdullilah, tapai menjadi seperti sedia kala,” jelas pasangan berkaitan yang dikurniakan empat cahaya mata.

TAPAI yang sedia untuk dibungkus.
TAPAI yang sedia untuk dibungkus.

Bercerita dengan lebih lanjut, Abang Din memberitahu bahawa pada peringkat permulaan, beliau belajar membuat tapai daripada arwah ibunya selepas balik dari sekolah hanya untuk seronok-seronok.

 

“Saya minat makan dan sambil-sambil itu belajar masa mak buat untuk keluarga. Ia tidak susah, sesuatu kerja hanya akan jadi susah sekiranya kita malas,” jawab beliau.

 

Selepas mendirikan rumah tangga, resepi tersebut kemudian diturunkan pula kepada Kak Norain.

 

“Masa mak mertua buat, saya tengok dan arwah juga ajar.  Lama-lama boleh buat untuk keluarga makan,” jelas beliau yang berasal dari Paya Keladi, Kepala Batas, SPU.

 

Perniagaan yang telah diusahakan dalam tempoh 10 tahun tersebut adalah bermula melalui tempahan seorang saudara sempena jamuan Hari Raya di Baling, Kedah.

 

“Masa itu, akak buat 20 kilogram (kg). Orang kata sedap, dari situ, akak terfikir nak pasarkan,” ujarnya yang mana pasaran tapai kini telah memasuki Sungai Petani, Kedah; Ipoh, Perak dan juga Kuala Lumpur.

 

Bagi pasangan berkaitan, selain takut tapai yang dihasilkan menjadi merah dan rosak, cabaran lain yang dihadapi adalah kenaikan harga pulut dan daun pisang.

 

“Sekiranya harga bahan-bahan ini naik terlalu tinggi, maka, kami juga terpaksalah…naikkan sikit,” katanya sambil menjelaskan bahan-bahan asas bagi pembuatan tapai adalah beras pulut dan ‘ragi’.

KAK Norain (kanan) sambil dibantu seorang rakan membungkus tapai-tapai yang ditempah.
KAK Norain (kanan) sambil dibantu seorang rakan membungkus tapai-tapai yang ditempah.

Berbicara dengan lebih lanjut, Abang Din yang tidak pernah lokek ilmu berkongsi kaedah pembuatan tapai beliau dengan Buletin Mutiara.

 

“Beras pulut dan ‘ragi’ direndam dalam tempoh sekurang-kurangnya dua jam setengah atau seelok-eloknya lima jam sebelum ia dikukus sampai masak.

 

“Kemudian, ia diangkat dan disiram, dibiarkan kering selama 10 minit dan letakkan ia di dalam talam. Biarkan ia sejuk dan ‘ragi’ diketuk-ketuk sehingga jadi serbuk dan taburkan ia di dalam talam.

 

“Siapa nak belajar, datang belajar. Walaupun ia merupakan punca rezeki kami, kami tidak lokek dan tumpang senang sekiranya yang datang belajar turut sama memahiri teknik ini,” jelasnya yang sehingga kini telah mengajar teknik pembuatan berkaitan kepada empat individu yang menetap di kawasan perumahan sama sehingga membolehkan golongan berkaitan menjalankan perniagaan sama kini.

 

Bagi perancangan masa depan, pasangan romantik berkaitan ingin memperkembangkan perniagaan sedia ada.

 

Sehingga kini, menurut Abang Din, strategi pemasaran adalah lebih kepada mulut ke mulut.

 

“Walaupun tapai kami telah sampai satu Malaysia, kami cuba usahakan lagi,” katanya yang berasa bangga kerana masih mewarisi dan meneruskan resepi tapai istimewa tinggalan arwah ibunya kini.

RUPA bentuk tapai daun pisang yang sedia untuk dipasarkan.
RUPA bentuk tapai daun pisang yang sedia untuk dipasarkan.

 

 

 

 

 

 

 

INFO :

Tapai Daun Pisang

No. 8, Tingkat Selesa 3,

Taman Selesa,

Kampung Selamat,

13300 Tasek Gelugor.

Nordin : 013 – 431 3345

Rumah : 04 – 573 3345}