ADUN gesa Gamuda segera serah selenggera 11 ROB kepada MPSP

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

JAWI – Syarikat berkaitan Kerajaan Pusat (GLC), MMC-Gamuda (Gamuda) digesa segera menyerahkan 11 lagi baki Road Over Bridge (ROB) kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee berkata, penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat di semua ROB terbabit tidak dapat dilakukan selagi serahan tersebut tidak dilakukan.

Tegasnya, Gamuda didakwa tidak mengikut prosedur digariskan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan, seperti tidak pernah memohon Pelan Kebenaran Merancang serta tidak mengemukakan Pelan Pembangunan kepada Jabatan Kejuruteraan MPSP.

“Mesyuarat khas pernah diadakan di MPSP pada 29 September 2015 dan Gamuda berjanji akan menyiapkan dan menyerahkan keseluruhan ROB pada 29 November 2015 tetapi, mereka gagal menunaikan janji.

“Hanya lampu jalan di tujuh ROB diserah kepada MPSP pada 21 Januari 2016 sehingga kini.

“Saya harap penyerahan (11 ROB) dapat dilakukan dengan segera supaya pihak yang berkaitan seperti MPSP dan JKR (Jabatan Kerja Raya) dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan lebih mudah,” ujarnya kepada pemberita ketika melawat tapak pemajuan terbabit di sini baru-baru ini.

Turut serta, dua Ahli Majlis MPSP, H’ng Mooi Lye dan Heng Yeh Shiuan.

Sebelum itu, Yeh Shiuan memberitahu, semua 18 ROB yang dibina oleh Gamuda meliputi ketiga-tiga daerah, iaitu empat buah di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) (9) dan Seberang Perai Selatan (SPS) (5).

“Sehingga kini, cuma empat ROB di SPU dan tiga di SPT telah diserahkan kepada MPSP pada 21 Januari 2016.

“Saya berharap pihak Gamuda dapat menyelesaikan penyerahan baki ROB dengan secepat mungkin,” seru beliau.