ADUN ikrar perhebat Program Pertanian Bandar di Jawi

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADUN

JAWI – Program Pertanian Bandar yang dilancarkan Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini adalah untuk menggalakkan masyarakat bandar dan pinggir bandar menanam bahan makanan sendiri di kawasan rumah masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee berkata, program berkenaan memberi idea kepada komuniti setempat untuk meneroka amalan terbaik dalam bidang hortikultur membabitkan kawasan terhad termasuk di sudut-sudut sekitar rumah, atas bumbung atau bangunan kediaman.

“Oleh demikian, saya sendiri selaku ADUN mengambil inisiatif dan berikrar untuk memperhebatkan Program Pertanian Bandar di seluruh Jawi terutama selepas kejayaan pelaksanaannya di Bukit Panchor dan Sanglang sebelum ini,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Pelaksana bagi Program Pertanian Bandar di bawah MMK Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Pertanian Bandar di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Byram, Taman Bistari di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Pertanian Daerah Seberang Perai Selatan, Lim Keat Seong, Urusetia Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) LA21, Chew Eng Seng dan Pengerusi JKKK Byram, P. Jaganjiveram serta komuniti setempat.

Mengulas lanjut, Lip Chee memberitahu bahawa program tersebut memberi peluang kepada komuniti setempat yang mengambil bahagian untuk mempelajari teknik-teknik penanaman pertanian organik dengan kaedah penanaman mudah menggunakan bahan-bahan terpakai.

“Jabatan Pertanian Negeri akan memberi pendedahan tentang penggunaan peralatan yang sesuai, termasuk penggunaan sumber bahan baja kompos dan pengurusan tanaman sekaligus menjamin keselamatan hasilnya.

“Pendedahan turut diberikan tentang bahaya penggunaan busa polisterin sebagai bekas tanaman dan penggunaan bahan kawalan serangga perosak yang dilarang bagi menghasilkan tanaman yang selamat untuk dimakan serta berkualiti,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Lip Chee mengajak mana-mana individu atau komuniti yang ingin menyertai Program Pertanian Bandar berkenaan supaya menghubungi Pusat Khidmat ADUN Jawi di talian 04 – 594 1163 untuk maklumat lanjut.

“Peserta akan diberikan kursus pendek dan penerangan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Negeri termasuk menjalani sesi praktikal serta penyediaan kelengkapan seperti tanah-tanih, benih pokok dan pasu,” ulas beliau.