ADUN Jawi gesa cegah pencemaran di Sungai Burung

Admin

JAWI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee menggesa pintu air Sungai Burung ditutup serta-merta susulan terdapat begitu banyak ikan mati di sini.

Mengulas lanjut, katanya, langkah itu dapat mencegah air dari parit tengah yang tercemar teruk serta berwarna hitam dari terus mengalir ke sungai .

“Saya amat dukacita dengan pencemaran yangbberlaku dan menjejaskan kira-kira 113 nelayan di sekitar persisir sungai ini.

“Jadi, saya nasihatkan ‘kaki-kaki pancing’ dan nelayan agar hentikan dahulu aktiviti menangkap ikan di kawasan tersebut,” katanya selepas meninjau pesisiran Sungai Burung di sini baru-baru ini.

Menurut Lip Chee, atas permintaannya, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel air untuk menyiasat punca sebenar di sebalik pencemaran sungai tersebut.

Hadir sama, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Zahid Zainal Abidin, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), H’ng Mooi Lye, Heng Yeh Shiuan, Pengerusi Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Byram, P. Jagan Jivaram dan Ketua Unit Nelayan Changkat, Abdul Rahman Ibrahim.

Abdul Rahman pada sidang media sama turut mengaku bahawa persisiran Sungai Pulau Burung sejak beberapa tahun ini sememangnya sedang dilanda pencemaran.

“Kalau dahulu, kita lihat sungai ini memang menjadi tumpuan kaki-kaki pancing dan nelayan kerana di sini terdapat pelbagai spesies ikan seperti baung, keli, duri dan pelbagai lagi, tetapi kini sudah berkurangan akibat pencemaran,” jelas beliau.

Terdahulu, kira-kira 5,000 ikan mati terapung di sepanjang tiga kilometer persisir Sungai Pulau Burung tersebut, sehingga mengejutkan kaum nelayan, kaki pancing hatta Lip Chee sendiri.