ADUN Jawi gesa Kementerian cukupkan pili bomba berkualiti

JAWI – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diminta membekalkan pili air bomba yang berkualiti dan mencukupi untuk seluruh Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee memberitahu, langkah itu adalah penting demi mengelak masalah teknikal sebagaimana dalam kejadian kebakaran sebuah kilang pada tahun 2013.

“Saya masih ingat satu kebakaran kilang berlaku di Jalan Changkat pada tahun 2013, anggota-anggota bomba perlu mengambil air dari sungai berdekatan disebabkan lokasi kebakaran tidak mempunyai pili bomba dan ini telah melambatkan kerja-kerja pemadaman api pada ketika itu,” katanya pada satu sidang media berkenaan masalah pili bomba di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pasukan Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal, Toh Kian Kok yang turut menyertai lawatan meninjau keadaan pili bomba di sini.

Menurut Lip Chee, kira-kira 800 pili bomba di Jawi, tidak meliputi semua kawasan serta agak terhad di kawasan pekan lama dan kampung.

“Kebanyakan pili bomba ini dipasang di taman perumahan baru dan kuantitinya jauh lebih banyak berbanding dengan pili bomba yang dipasang di kawasan luar bandar,’’ tegas beliau.

Dalam pada itu, pada sidang media sama, Kian Kok memberitahu bahawa pili bomba sedia ada tidak dapat menampung keperluan di Jawi, malah tidak seimbang dari segi penempatan.

“Walaupun pasukan kami telah banyak kali membuat permohonan penambahan pili bomba baru, namun permohonan ditolak dengan sebab peruntukan tidak mencukupi,” jelasnya.

Tambah Kian Kok, selain menjalankan tugastugas khas, pasukannya senantiasa mengambil berat tentang penyelenggaraan setiap pili bomba dengan melakukan pemeriksaan serta pembersihan secara berkala.

}