ADUN komited terus wujud persekitaran kondusif buat penduduk

AIR ITAM – Projek pelebaran Jalan Masjid Negeri merupakan salah satu daripada tiga inisiatif penting yang dilaksanakan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam dalam usaha mewujudkan persekitaran lebih selesa buat pengguna serta penduduk di sini khususnya.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Wong Hon Wai berkata, kawasan persekitaran di Jalan Grove, Jalan Cheeseman dan Jalan Masjid Negeri merupakan kawasan yang padat dengan kuarters perumahan kerajaan, sekolah dan terdapat kira-kira lapan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi di kawasan berkenaan.

“Kerja-kerja menaik taraf Jalan Masjid Negeri kepada tiga laluan kini telah 90 peratus siap. Keseluruhan Jalan Masjid Negeri dan sebahagian Jalan Scotland ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.

“Projek ini bukan sahaja dapat menguraikan trafik, pada masa sama juga mewujudkan persekitaran lebih kondusif kepada penduduk di sekitar Jalan Masjid Negeri,” ujarnya ketika hadir menyampaikan sumbangan kepada Pusat Kanak-kanak Istimewa Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Pusat Kanak-kanak Istimewa Pulau Pinang, Puan Sri Datin Seri Datuk Raihanatul Habshiah Ibrahim Akiby.

Pada majlis berkaitan, Hon Wai menyumbangkan sebuah tong sampah komunal, tong sampah kitar semula (3) bernilai RM1,600 dan sumbangan RM3,000 kepada pusat berkenaan sempena penganjuran pesta makanan amal pada 20 Ogos 2017.

Menurut Hon Wai, beliau akan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti persekitaran buat masyarakat setempat.

“Dua inisiatif lain iaitu masing-masingnya, pelebaran Lorong Batu Lanchang yang telah siap sepenuhnya tahun lalu dan pembukaan Penang Digital Library,” ujarnya.