ADUN lawat tapak projek perparitan tangani banjir

MACHANG BUBOK – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon baru-baru ini melawat tapak projek perparitan Kerajaan Negeri yang bernilai RM175,000 di Kampung Telok di sini.

Bercakap kepada pemberita, lawatannya sekadar memantau kerja-kerja pemajuan projek sahaja, dan di sini bukanlah lokaliti utama yang dilanda bencana banjir kilat barubaru ini.

“Tujuan utama lawatan kerja ini adalah untuk memantau perkembangan projek pembinaan parit konkrit serta menangani masalah banjir di kawasan persekitaran Machang Bubok.

“Pembinaan ini melibatkan satu parit konkrit di atas Sungai Kecil supaya saliran sedia ada dapat dinaiktaraf dan menampung lebihan air ketika hujan lebat,” jelasnya pada sesi lawatan berkenaan.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ong Jing Cheng serta wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang.

Selepas itu, pasukan Khai Loon turut mengadakan lawatan kerja ke Lebuh Seri Kijang, atas aduan komuniti mengenai beberapa kerosakan jalan raya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut berwajib.

“Saya juga minta MPSP untuk baiki kerosakan di sini supaya ianya tidak mengganggu lalu lintas di kawasan terlibat,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khai Loon turut mengingatkan semua anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Machang Bubok supaya bersiap siaga menghadapi fenomena musim hujan lebat serta air pasang besar untuk membantu mangsa bencana kelak.} else {