ADUN, nelayan rayu LKIM naik taraf jeti Kg. Bagan Buaya

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN

JAWI – Agensi persekutuan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dirayu menaik taraf jeti nelayan di Kampung Bagan Buaya, yang sehingga kini dipercayai masih belum mempunyai bekalan air dan elektrik.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee berkata, pihaknya menerima aduan bahawa masalah malar segar itu dialami nelayan setempat sejak lebih lima tahun lalu.

“Saya gesa LKIM supaya segera menaik taraf jeti di sini, jangan abai lagi kerana ini menyukarkan aktiviti nelayan pantai.

“Saya sendiri akan berbincang dengan Pejabat Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), kalau boleh jalan masuk ke jeti ini diturapkan,” jelasnya ketika dihubungi pemberita.

Terdahulu, Lip Chee menyerahkan sumbangan Kerajaan Negeri berupa pukat kepada 23 nelayan pantai berdaftar. Ketika berucap, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri sejak 2013 menyumbangkan pukat dua kali setahun kerana menghargai sumbangan nelayan pantai dalam membekalkan makanan di negeri ini.

“Kita terima 29 permohonan, namun, hari ini kita beri 23 pukat dahulu, baki enam lagi kita akan beri kemudian dalam masa terdekat ini.

“Saya berharap, pemberian ini sedikit sebanyak meringankan beban nelayan untuk membeli pukat baharu setiap tahun,” ujarnya pada majlis ringkas Penyerahan Pukat Nelayan dekat Jeti Nelayan Changkat, Nibong Tebal, SPS.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat, Hussein Kurban dan Pengerusi Persatuan Nelayan Changkat, Abdul Rahman Ibrahim.

Menurut Lip Chee, satu-satu pukat ketam tiga lapis, pukat udang lipan, pukat udang dan pukat senangin yang disumbangkan pada majlis ringkas tersebut mencecah harga antara RM150 hingga RM200, termasuk Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Pusat sejak 1 April tahun lalu.