ADUN Paya Terubung gesa segera tangani bencana banjir lumpur

PAYA TERUBUNG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubung, Yeoh Soon Hin berkata, banjir lumpur yang melanda Taman Terubung Jaya baru-baru ini sebenarnya adalah bencana alam, bukannya berpunca dengan faktor tiada sistem perparitan baik di kawasan projek perumahan lereng bukit terbengkalai, Majestic Height seperti digambarkan oleh pihak tertentu di sini.

Justeru, beliau semasa melawat kawasan kejadian meminta suatu jawatankuasa penyelesaian membabitkan semua pihak berwajib ditubuhkan, selain, menggesa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) segera melakukan kerja-kerja pembersihan di sini.

“Ini adalah bencana alam, bukan berpunca oleh projek terbengkalai di Majestic Height atau disebabkan cadangan Kerajaan Negeri untuk membina jalan berkembar Jalan Paya Terubung (dari Lebuhraya Thean Teik dekat Bandar Baru Air Itam) ke Lebuh Bukit Jambul (dekat Relau).

“Saya telah meminta MPPP menjalankan kerja-kerja pembersihan dan memikirkan cadangan supaya banjir lumpur seumpama ini tidak berulang lagi,” ujarnya yang mengadakan lawatan ke lokasi kejadian di sini baru-baru ini.

Menurut Soon Hin, wakil PLB Land Sdn. Bhd. turut hadir, sambil menyatakan komitmen untuk bersama-sama membantu Kerajaan Negeri mendepani masalah bencana alam di sini.

Difahamkan, PLB Land merupakan kontraktor dipilih Kerajaan Negeri untuk menyiapkan projek perumahan Majestic Height, yang terbengkalai sejak era pentadbiran Barisan Nasional (BN) dulu.

PLB juga merupakan pemaju bertanggungjawab membina jalan raya berkembar yang bernilai RM300 juta demi menangani masalah kesesakan trafik di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Pegawai Kesihatan Awam MPPP, Ismail Osman dilaporkan berkata, tanah runtuh kali ini merupakan bencana alam kali ketiga sejak tahun lepas.

“Kemungkinan ia berlaku lagi adalah tinggi,” respons beliau, dipetik dari satu akhbar arus perdana.

Seorang penduduk, Datuk T. Sabapathee, dalam lingkungan 70-an, dilaporkan berkata, tanah runtuh itu berlaku pada kira-kira 4 petang hari kejadian, selepas hujan berpanjangan menimpa cerun bukit Bukit Kukus di belakang tiga blok pangsapuri di sini.

“Nasib baik, tidak ada orang yang cedera dalam kejadian itu,” katanya kepada sumber sama di tempat kejadian.