ADUN seru semua penduduk jayakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca

Admin

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai menyeru supaya penduduk di sini meneruskan komitmen Kerajaan Negeri dengan menjayakan programprogram pengasingan sisa di punca yang dilaksanakan.

Menurutnya, program pengasingan sisa yang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah bagi mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal, sekaligus memberi penjimatan khususnya bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.

“Semenjak Kerajaan Negeri memperkenalkan p r o g r a m – p r o g r a m pengasingan sisa pepejal di punca 1 Jun 2016, kita (Kerajaan Negeri) telah berjaya menjimatkan RM2.38 juta iaitu RM1.59 juta bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan RM792,999 (Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP),” ucapnya pada Program Pengasingan Sisa Di Punca Flat Taman Seri Timur, Lorong Rambutan 3 di sini baru-baru ini.

Menurut Hon Wai, selain penjimatan perbelanjaan, pengasingan sisa di punca juga mampu memanjangkan hayat tapak pelupusan sampah di Pulau Burong, Seberang Perai Selatan (SPS).

“Program anjuran Pusat Khidmat ADUN Air Itam bersama-sama Dewan Kegiatan Agama Islam Kampung Shaik Eusoff dan MBPP ini merupakan program kali ke-tujuh seumpamanya dijalankan membabitkan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) ini.

“Sebelum ini, enam kawasan lain sudah melaksanakannya, iaitu Taman Happy Valley, Flat Taman David Chen, Flat Taman Pisang Awak, Kampung Shaik Eusoff, Flat Fairy Height Blok 137 dan Blok 138.

“Dengan kempen-kempen yang giat dijalankan, saya harap mesej berhubung Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang bakal dikuatkuasakan secara mandatori 1 Jun ini akan sampai ke peringkat akar umbi bagi memastikan kejayaannya,” ujarnya yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri.