ADUN, swasta ganding bahu bantu golongan memerlukan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

JAWI – Seramai 100 penerima dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi terpilih menerima bantuan barangan keperluan harian berdasarkan konsep ‘kontrak’ tahunan bermula Jun 2016 sehingga Jun 2017.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee berkata, melalui pendekatan yang memperoleh kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta tersebut, Pusat Khidmat ADUN Jawi akan mengemaskini data penerima serta menilai sama ada ‘kontrak’ akan diteruskan atau diberikan kepada keluarga lain yang memerlukan selepas tempoh setahun.

“Program ini dijalankan Pusat Khidmat ADUN Jawi bersama-sama pertubuhan NGO, Persatuan Kebajikan Sheng Xian Malaysia dan dua pengilang tempatan, Nitron Industries Limited serta NationGate Solution (M) Sdn. Bhd..

“Diharapkan, kerjasama dicapai antara semua pihak ini akan dapat membantu golongan memerlukan menikmati kehidupan lebih baik sekaligus meringankan beban ditanggung,’’ katanya pada Majlis Prihatin Kebajikan Rakyat KADUN Jawi dekat Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sanglang di sini barubaru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Heng Yeh Shiuan dan wakil-wakil swasta dan NGO terlibat.