ADUN syor kaunter khas OKU di aras bawah Komtar

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Struktur bangunan akses ke tingkat tiga dan lain-lain tingkat bangunan Komtar yang menempatkan Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat seakan masih kurang mesra kepada pengunjung dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).

Lanjutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey mengesyorkan  pihak pengurusan bangunan, PDC Setia Urus selaku anak syarikat kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) supaya mewujudkan kaunter khas untuk OKU di tingkat satu atau aras bawah Komtar.

“ Sememangnya , ada kemudahan seperti tanjakan ( berhadapan Maybank Komtar), tetapi malangnya tanjakan tersebut tidak membantu golongan berkerusi roda ini.

“ Pergerakan mereka ( OKU berkerusi roda ) terhad, kerana dikelilingi struktur bertangga. “Malah, mereka (OKU berkerusi roda) tidak boleh akses kepada kemudahan lif dan memasuki bangunan pentadbiran kerajaan ekoran tidak mempunyai pas pendaftaran masuk.

“Justeru, saya sarankan agar satu kaunter khas diwujudkan ditingkat bawah , khusus untuk golongan ini ke tingkat atas (ruang legar dan lokasi berhampiran ) atau menjalankan urusan di pejabat-pejabat kerajaan,” katanya sebagai respons terhadap beberapa laporan berita di akhbar berbahasa Cina baru-baru ini.

Sebelum itu, Soo Huey turut membawa pengamal media yang hadir untuk meninjau serta menilai sendiri struktur binaan khas untuk OKU disekitar Komtar.

Jelas beliau, sepatutnya kemudahan akses ke semua premis lain pun patut mesra OKU kerana golongan terpilih yang datang ke Komtar bukan hanya untuk berurusan dengan Kerajaan Negeri.

“Persekitaran Komtar telah melalui pelbagai peningkatan sejak beberapa tahun ini, tetapi ia masih belum cukup untuk menyediakan akses yang betul kepada pengguna berkerusi roda.

“ Bukan sahaja tidak boleh akses dan menjalankan urusan di pejabat pos, malah lebih merbahaya sekiranya terpaksa menggunakan jalan raya untuk ke terminal bas.

“ Manakala , kawasan parkir OKU yang kini ditempatkan di tingkat satu perlu diubah ke tingkat tiga dengan kemudahan tanjakan yang bersesuaian,” ujar Soo Huey.} else {