Aemulus labur RM25 juta, harap kembangkan sektor E&E negeri

GEORGE TOWN – Aemulus Corporation Sdn. Bhd. (Aemulus) melabur sejumlah RM25 juta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama tiga tahun, dengan membeli sebidang tanah di Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas untuk kegunaan operasi kilang pengeluaran peranti ujian automatik (ATE) dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap pelaburan Aumulus itu akan menyumbang kepada perkembangan sektor elektrik dan elektronik (E&E) negara di Pulau Pinang.

“Tanah 1.62 ekar untuk pembinaan kemudahan Aemulus ini diharap akan memberi manfaat kepada ekosistem E&E, sekaligus memberi sumbangan positif terhadap ekonomi negeri,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Perjanjian Jual Beli Tanah antara Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar dan Pengarah Eksekutif Aemulus, Ng Sang Beng.

Turut menyaksikan, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri dan wakil-wakil Aemulus.

Menurut Guan Eng, keyakinan pelabur ke negeri ini sebenarnya berdasarkan rekod tadbir urus Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang sedia ada.

“Dalam tempoh lapan tahun mulai 2008 hingga 2015, Pulau Pinang mencatat pelaburan sebanyak RM55 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 90 peratus berbanding tempoh lapan tahun sebelumnya (mulai 2000 hingga 2007) sebanyak RM29 bilion. “Pulau Pinang, walaupun merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia, menyumbang tujuh peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Malaysia,” jelasnya.

Tambah Guan Eng, industri E&E masih kekal antara penyumbang utama kepada ekonomi Pulau Pinang, sungguhpun ketika negara sendiri sedang mengharungi ekonomi yang kian mencabar.

“Walaupun eksport tahunan Malaysia menunjukkan pertumbuhan perlahan 0.5 peratus pada 2016, namun, eksport tahunan E&E Malaysia berkembang sebanyak 7.8 peratus pada November 2016.

“Sektor (E&E) ini juga menyumbang 36.7 peratus daripada eksport keseluruhan Malaysia pada bulan Januari hingga November 2016, meningkat sebanyak 1 peratus, berbanding eksport Malaysia dalam tempoh yang sama pada tahun 2015,” jelasnya.

Sebelum itu, Sang Beng memberitahu, Aemulus merekodkan pertumbuhan memberangsangkan, dengan pendapatan syarikat meningkat daripada RM11 juta bagi tahun 2012 kepada RM32.6 juta (2015).

Direkodkan, Aemulus mencatatkan Kadar Pertumbuhan Tahunan Majmuk (CAGR) sebanyak 31.2 peratus, manakala, keuntungan bersih meningkat daripada RM1 juta pada 2012 kepada RM9 juta (2015), dengan CAGR sebanyak 73 peratus.

Tambah Seng Beng, projek pembinaan pejabat korporat berkeluasan 50,000 kaki persegi serta pusat reka bentuk industri Aemulus dijangka siap sepenuhnya menjelang bulan Disember 2018.