Ahli Majlis cadang persidangan nasional PBT

Admin

GEORGE TOWN – Empat isu utama melibatkan aspek ekonomi, pengurusan alam sekitar, teknologi dan sosial dikenal pasti menjadi cabaran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara dalam melaksanakan peranannya ke arah kesejahteraan semua pihak.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Nur Zarina Zakaria berkata, PBT di Malaysia merupakan satu agensi paling penting ekoran struktur pentadbiran dalam negara yang meletakkan PBT sebagai ‘kerajaan’ ketiga selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Umum mengetahui bahawa PBT adalah agensi yang paling hampir dengan penduduk setempat kerana aktiviti seharian (penduduk) seperti pelesenan, percukaian, kemudahan awam dan sebagainya semuanya adalah melibatkan PBT.

“Oleh demikian, PBT tidak pernah terlepas daripada permasalahan dan sentiasa menjadi perhatian khasnya dalam kalangan penduduk setempat,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan MBPP ketika membentangkan ucapan penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di Dewan Bandaraya di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nur Zarina memberitahu bahawa peranan sesebuah PBT dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan adalah berbeza di antara satu sama lain.

Justeru, beliau menyarankan agar satu persidangan peringkat nasional di antara PBT seluruh negara dapat diadakan dan menjadi platform perkongsian maklumat.

“Jika dilihat dari segi peranan PBT dengan PBT yang lain adalah berbeza.

“Ini disebabkan sumber kewangan, sumber manusia dan perundangan. Begitu juga keutamaan sesebuah PBT yang berbeza ekoran perlu memenuhi kehendak setempat dan pertindihan bidang kuasa.

MBM MBPP yang berlangsung di Dewan Bandaraya di sini baru-baru ini.

“Justeru, setiap daripada permasalahan ini perlu diberi perhatian serius dalam memastikan semua peruntukan sedia ada dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sistematik,” jelas Nur Zarina.