“Alen Castello” mahu jadi rocker tak lupa Tuhan

ALAN Castello merupakan salah seorang lagi “fenomena bintang rock laman sosial.

Lagu She’s Gone nyanyian asal Miljenko Matijevic dari kumpulan Steelheart dinyanyikannya secara live.

Sebanyak 353,427 kali didengar oleh warga media baru 2.0, apabila dimuat naik dalam youtube, sejak setahun lalu.

Kemunculan Alen Castello atau nama sebenarnya Mohd. Azlan Ahmad dalam rancangan realiti tv Pencetus Ummah (PU) musim terbaru sekali lagi menggamit perhatian para peminatnya.

Wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB sempat “mencuri masa” Mohd. Azlan secara eksklusif untuk memenuhi ruang Wawancara keluaran kali ini.

“Tiada niatpun untuk saya menjadi penyanyi, tiba-tiba nyanyian saya di Youtube menarik perhatian anak muda.

“Selalunya ustaz duduk di mimbar, jarang ada ustaz yang duduk di jalanan bersama anak-anak muda untuk tujuan agama.

“Kadang-kadang saya sendiri berasa seperti melawan arus, saya tidak sangka yang saya memilih melakukan kerja-kerja dakwah di luar masjid seperti sekarang ini,” seloroh beliau.

Mohd. Azlan sudah berkeluarga dan mempunyai tiga cahaya mata. Tiap-tiap malam, beliau bersama isteri membuka gerai char koey teow di pinggir jalan berhampiran dengan Stesen Petronas Batu Feringghi.

Walaupun telah mempunyai nama dalam dunia selebriti, Mohd. Azlan berkata, beliau tidak malu untuk mengaku bahawa kerjaya sebenarnya adalah sebagai penjaja tepi jalan.

Malah, katanya, beliau tidak sangka akan menyertai PU, selepas dikejar oleh banyak pihak di laman sosial.

“Menyanyi ini hobi sahaja dan tiada pun dalam senarai kerjaya saya.

“Seperti orang lain, Facebook ini adalah medan dakwah saya dengan orang muda, tetapi tak begitu interaktif.

“Tetapi, apabila mereka tahu penyanyi lagu She’s Gone itu adalah seorang Tok Imam Masjid dan Tok Khatib, hampir 70 peratus rakan-rakan Facebook mula bertanya soalan dan berkongsi ilmu berkaitan agama.

“Apabila saya fikir balik, apalah salah kiranya saya menggunakan suara yang Allah anugerahkan ini untuk dakwah dan tarik anak muda untuk kembali pada jalan Islam,” jelas Mohd. Azlan.

Busking

Baginya, Pulau Pinang seharusnya menjadi kota kesenian rakyat, termasuk menyusun budaya busking atau kugiran untuk menarik pelancong ke negeri ini.

“Di Batu Feringghi sendiri, adalah salah satu destinasi pelancong asing, sepatutnya, jangan dilarang budaya busking.

“Busking adalah salah satu budaya muda-mudi, dan bukan semua buskers tak baik.

“Busking ini pun mula popular setahun dua ini saja, dan saya kenal inipun apabila pelawa mereka busking di gerai makan saya….di sini saya nyanyi lagi She’s Gone.

“Apabila masuk waktu, saya ambil peluang ajak kawan solat sebab baik buruk kita yang busking ini bergantung pada diri kita sendiri.

“Busking ini pun akan jadi masalah sekiranya mengganggu trafik atau komuniti sekeliling, tetapi jika diurus dengan cantik, tiada masalah sebenarnya.

“Sebab itu, perlu ada satu-satu tempat khusus untuk busking, barulah mereka boleh mematuhi syarat-syarat yang digariskan oleh pihak berkuasa.

“Apa salahnya diterapkan di Pulau Pinang, kerana Pulau Pinang memang kota kebudayaan dan kota kesenian, dan perlu ada street art termasuk busking untuk tarik pelancong,” tambahnya.

Rakam Album

Kini, Mohd. Azlan memberitahu bahawa beliau telah ada tiga single song berjudul Benak Ini, Kasih, dan Kau Tetap Dihatiku

. “Tinggal tujuh lagi lagu akan dirakamkan, untuk menerbitkan album pertama.

“Semua lagu ini langsung tiada unsurunsur kecintaan kepada makhluk, semuanya Allah semata-mata, kalau adapun, sekadar memuji ibu bapa sahaja,” jelas Mohd. Azlan lagi.

“Ustaz Selebriti”

Mohd Azlan mengaku, khalayak banyak mempersoal trend artis berhenti terus berlakon atau menyanyi apabila terjun dalam politik dan dunia dakwah.

Namun, beliau mahu terus kekal identitinya, sebagai Tok Imam Masjid, penyanyi jalanan dan peniaga char koey teow.

“Sebenarnya, masing – masing mempunyai identiti.

“Bagi saya pun, selepas mengenal jalan dakwah barulah saya menyanyi, ertinya saya ini terbalik daripada ‘orang masjid’ menjadi penyanyi.

“Saya rasa, identiti ini biarlah saya kekalkan, walaupun ada pandangan serong daripada segelintir masyarakat.

“Dalam TV memang ada banyak ‘Ustaz Selebriti’ seperti Ustaz Aqil Hayy dan Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz sendiri, tetapi saya nak jadi diri sendiri, iaitu wajib menyampaikan seruan agama,” jelas beliau sambil menganggap PU sebagai medan dakwah.

Harapan

Mohd. Azlan memberitahu bahawa beliau berharap dapat menyumbang sesuatu kepada ummah, khususnya generasi muda.

“Kepada semua anak muda, macam mana pun kita, apapun yang kita buat, yang paling penting sekali jangan diabai sujud kepada Allah dan mendongak ke langit (berdoa).

Kedua, kena merebut ilmu kerana ilmu adalah cahaya.

Paling kurang, anak-anak muda kena tuntut ilmu Tauhid, Ilmu Fekah dan Ilmu Tasawuf.

“Rock macam mana pun kita, Allah jangan lupa Bro.,” seloroh beliau.