Amal pengasingan sisa, bendung wabak denggi

BATU UBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan menyarankan orang ramai khususnya penduduk di rumah pangsa bertingkat untuk segera mengamalkan pengasingan sisa di punca di kediaman masing-masing.

Menurut beliau, inisiatif pengasingan sisa telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri sejak 2016 dan Dasar Pengasingan Sisa di Punca dikuatkuasakan secara mandatori mulai Jun 2017.

“Dunia kita hari ini melalui satu perubahan cuaca amat serius sehingga mengakibatkan peningkatan suhu bumi rentetan penipisan lapisan ozon.

“Saya percaya, melalui inisiatif pengasingan sisa di punca, sedikit-sebanyak mampu menangani masalah tersebut,” ucapnya pada Program Pengasingan Sisa Di Punca dekat Dewan Komuniti Apartment Centrio Avenue, Sungai Gelugor di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Ar. Yew Tung Seang.

Tambah Jayabalan, selepas lawatannya ke tapak pelupusan sisa pepejal di Pulau Burong Seberang Perai Selatan (SPS), beliau mendapati kawasan bahawa tersebut ‘membebaskan’ gas metana yang bukan sahaja memberikan ancaman kepada manusia, malah alam sekitar.

“Pembuangan sampah yang tidak terkawal dan tanpa pengasingan menyebabkan proses pengeluaran gas metana tinggi…bahan-bahan seperti plastik juga tidak terurai, dan jika tidak dimulakan (pengasingan sisa di punca), masa hadapan anak-anak kita pasti suram,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jayabalan turut menyeru supaya penduduk di sini supaya mengasingkan sisa kepada sisa boleh dikitar semula dan sisa domestik.

“Juga, memastikan pembuangan tin-tin dan botol minuman atau sebarang bekas yang boleh menakung air dibuang dengan betul.

“Hal ini kerana, tin minuman misalnya, mampu menakung air dan secara langsung boleh menjadi ‘lubuk’ pembiakan nyamuk aedes.

“Jadi, langkah mudah yang kita boleh lakukan ialah asingkan sisa di rumah kepada dua bahagian iaitu boleh dikitar semula dan tidak boleh dikitar semula,” ujar beliau.