Anjur dialog, seru isu trafik Taman Desa Putra ditangani segera

Admin

PANTAI JEREJAK – Isu malar segar mengenai masalah trafik sekitar Taman Desa Putra, dilema parkir tidak cukup serta saman kenderaan milik penduduk setempat antara yang dibangkitkan dalam Program Sembang Santai Bersamasama Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hanson di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Rashid memberitahu, pihaknya akan memanggil Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk saling berbincang dengan pihak polis mengenai isu-isu membabitkan komuniti Pantai Jerejak.

“Kita akan menggadakan satu lagi dialog lanjutan dalam masa terdekat melibatkan MBPP dan pihak polis untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita pernah menyelesaikan isu saman sebelum ini hasil keterlibatan pihak polis dan (pihak) Majlis.

“Dalam isu akses keluar masuk dan parkir, kita akan dapatkan Jabatan Kejuruteraan MBPP. Satu lawatan akan diusahakan secepat mungkin dalam mencari penyelesaian isu parkir berlapis serta mendapatkan kelulusan akses alternatif bagi penduduk terlibat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Mohd. Rashid dalam pada itu turut mengakui sembang santai adalah satu medium penyelesaian masalah dan mendengar keluhan penduduk dengan lebih berkesan.

“Dialog secara langsung semacam ini lebih bagus dan saya lebih suka begini, yang mana penduduk memberi aduan secara terus dalam suasana santai… berbeza dari segi kebiasaan melalui emel, telefon dan aplikasi telefon pintar,’’ jelasnya.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), A. Kumaresan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Nibong Pantai, Mohd. Nazri Idris.

Difahamkan, Mohd. Rashid sebelum ini turut menggunakan pendekatan sama bersama penduduk dalam memperjelaskan isu tambakan laut berhampiran pusat membeli-belah Queensbay Mall.