Anjur kelas bimbingan percuma mengenang jasa Karpal Singh

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : G. REVATIC

SERI DELIMA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer menganjurkan kelas bimbingan akademik secara percuma untuk pelajar tempatan yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini.

Bercakap kepada pemberita, Rayer memberitahu, hasrat menganjurkan kelas bimbingan akademik secara percuma itu sebenarnya adalah hasrat bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh.

“Kita (kepimpinan setempat) bersetuju untuk menamakan kelas bimbingan ini sebagai Kelas Bimbingan Karpal Singh bagi mengenang kembali sumbangan mendiang sebagai seorang tokoh yang hebat.

“Saya telah meminta supaya Saudara Jagdeep Singh Deo (anak sulung mendiang) membawa cadangan saya untuk perhatian Ketua Menteri untuk mengadakan Program Bas Sekolah Percuma sebagai meringankan beban ibu bapa yang terpaksa menanggung kos sara hidup yang kian meningkat kini,” katanya pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Selain Japdeep, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang juga anak ketiga mendiang; isteri mendiang, Gurmit Kaur; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Tun Sardon, Mohd. Hafiz Abdul Aziz dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abdul Rashid turut sertai sidang media tersebut.

Pada majlis berkaitan, turut diraikan adalah sumbangan penghargaan kepada pelajarpelajar cemerlang UPSR dan SPM bagi Kawasan Dewan Undangan Negerinya (KADUN).

Jagdeep yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif Rayer melaksanakan program kebajikan rakyat dengan mengenang jasa mendiang Karpal.

“Sejak 2008, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengadakan pelbagai program kebajikan dan kerja-kerja amal untuk rakyatnya.

“(Dan) usaha Saudara Rayer menganjurkan kelas bimbingan percuma untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR dan SPM wajar dipuji,” jelasnya.

Difahamkan, kelas bimbingan percuma tersebut telah memasuki tahun kedua penganjurannya dengan menawarkan subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi memastikan pelajar menguasai subjek-subjek berkaitan.

R.S.N. Rayer (enam dari kanan) dan Jagdeep Singh Deo (empat dari kiri) bergambar bersama-sama dif-dif
jemputan serta pelajar cemerlang UPSR dan SPM yang menerima penghargaan khas di sini baru-baru ini.

Pada majlis sama, Rayer dan Ramkarpal menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000 untuk kos perjalanan kelas bimbingan akademi serta saguhati guru-guru yang terlibat dalam program kebajikan itu.