Anugerah kitar semula didik generasi pelapis praktik sebagai amalan harian

Oleh : NOOR SITI NABILAH NORAZIS
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Sejumlah 23,612 kilogram bahan kitar semula berjaya dikumpulkan para pelajar daripada 60 sekolah di Seberang Perai sempena Pertandingan Anugerah Kitar Semula Anjuran Fraser & Neave (F&N) Holdings Berhad dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud pada majlis penutupan pertandingan tersebut berkata, penganjuran tersebut adalah penting untuk mendidik generasi pelapis supaya menjadikan aktiviti kitar semula sebagai satu amalan dalam menjalani kehidupan harian.

“Pendekatan secara holistik seperti ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah sama ada sekolah rendah mahupun menengah, kerana ia amat penting untuk menjamin bumi kita agar terus terpelihara.

“Difahamkan, dalam penganjuran yang berlangsung selama enam bulan sejak 1 Mac lalu mencatatkan sebanyak 23.162 kilogram bahan kitar semula berjaya dikumpul oleh sekolah-sekolah yang mengambil bahagian.

“(Dan) pastinya kita mahu meluaskan inisiatif ini dengan mendidik pelajar sekolah mengenai falsafah 5R iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula), Recycle (Kitar Semula), Rethink (Fikir Semula) dan Reinvent (Cipta Semula),” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Holdings Berhad, Cariessa Goh memberitahu, pihaknya menghargai kerjasama MPSP sepanjang penganjuran berkenaan.

“Kami yakin kempen ini akan terus mendapat sokongan daripada pihak sekolah-sekolah di sini (Seberang Perai) termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dan Tetra Pak Malaysia.

“(Dan) sejak memulakan inisiatif ini, hampir 1.5 juta kilogram bahan kitar semula berjaya dikumpulkan,” jelasnya.

Pertandingan Kitar Semula Anjuran F&N dan MPSP dibuka kepada semua sekolah rendah dan menengah di Seberang Perai, dan pihak yang mengambil bahagian perlu mengumpul bahan kitar semula sebanyak mungkin khususnya kertas, plastik serta aluminium.

Tahun ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perkampungan Berapit diumumkan sebagai juara bagi Kategori Sekolah Rendah dengan jumlah kutipan  bahan kitar semula sebanyak 7.66 kilogram.

Manakala, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Madrasah Al-Khariah mengungguli Kategori Sekolah Menengah, 6.43 kilogram.