Anugerah Sekolah Hijau praktik amalan 4R dalam kalangan pelajar

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yakin Anugerah Sekolah Hijau (ASH) yang mula dilaksanakan sejak lapan tahun lalu akan memberi kesan bermakna kepada semua pelajar.

Beliau berkata, selain bertujuan menggalakkan semua sekolah untuk mengamalkan pendekatan secara holistik dalam pengurusan alam sekitar, ASH juga merupakan satu usaha berterusan dalam mempraktikkan amalam 4R iaitu fikir (rethink), kurangkan (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle).

“Program ASH ini merupakan satu usaha berterusan secara bersama menerusi amalan 4R demi menyediakan satu persekitaran yang sihat untuk generasi akan datang.

“Di samping itu, amalan hijau di sekolah-sekolah juga dapat membantu masyarakat menuju ke era sisa sifar kerana kita perlu bermula dari peringkat sekolah agar mampu melahirkan generasi yang prihatin terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Pelancaran ASH Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini 30 Januari lalu.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang, Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali, Ahli-ahli Majlis MBPP, Mohd Faisol Abu Bakar (wakil Jabatan Pendidikan Pulau Pinang) dan Seth Lim Sow Wu (Pengurus Besar Mah Sing Group).

Dalam pada itu, Tung Seang ketika berucap melahirkan harapan agar jumlah penyertaan tahun ini akan terus meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Diharap semua sekolah-sekolah ini akan menyahut cabaran ASH.

“Saya percaya kerjasama di antara para pelajar bersama-sama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bukan sahaja akan mewujudkan kecemerlangan di dalam bidang akademik, malahan dalam membudayakan pengurusan yang mesra alam,” ujarnya.