Apakah nasib Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia?

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap

Pengarah Eksekutif Penang Institiute

 

PADA bulan September 2013, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, dokumen yang diuaruarkan oleh Menteri Pendidikan ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai manifestasi “yang paling komprehensif dan transformasi kerajaan paling besar dalam mendapatkan pulangan terbaik modal insan bagi memacu semua aspirasi pembangunan negara.

Antara sebab Pelan Pembangunan ini dihasilkan adalah sebagai tindak balas kepada kemerosotan standard murid Malaysia berbanding dengan rakan-rakan mereka dalam penilaian antarabangsa seperti PISA (Programme for International Student Assessment) dan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study).

Pada tahun 2012, penilaian PISA, yang merupakan kajian tiga tahun sekali yang dijalankan oleh OECD (Organisation for Economic Cooperation and Development) pada kanak-kanak berusia 15 tahun dalam bidang Bacaan, Matematik dan Sains, Malaysia berada pada kedudukan ke- 52 daripada 65 negara yang mengambil bahagian. Dalam ketiga-tiga bidang pengajian, murid Malaysia berada pada kedudukan jauh di bawah purata, bahkan tewas kepada negara jiran seperti Singapura, Thailand dan juga Vietnam. Malah, keputusan Malaysia memperlihatkan kemerosotan dari penilaian PISA sebelumnya pada tahun 2009.

Corak merosot ini dicerminkan dalam penilaian TIMSS yang dilakukan empat tahun sekali, yang menyaksikan Malaysia mengalami kemerosotan terbesar dalam kalangan 59 negara yang dikaji sejak tahun 1999. Walaupun murid Malaysia berjaya memperolehi kedudukan ke-16 dalam mata pelajaran Matematik dan ke-22 bagi Sains pada tahun 1999, prestasi mereka menurun kepada tangga ke-26 dalam mata pelajaran Matematik dan ke-32 bagi Sains pada tahun 2011.

Lebih membimbangkan, 38 peratus murid Malaysia gagal mencapai penanda aras antarabangsa yang minimum dalam Matematik dan Sains pada tahun 2011, berbanding 20 peratus pada tahun 2007 dan kirakira lima hingga tujuh peratus pada tahun 2003. Pada masa yang sama, hanya dua peratus berjaya mencapai penanda aras antarabangsa tertinggi pada tahun 2011, iaitu penurunan besar daripada 10 peratus pada tahun 1999. Sementara itu, tidak seperti Malaysia, negara-negara Asia yang lain seperti Taiwan, Singapura, Korea Selatan dan Hong Kong semuanya menunjukkan peningkatan sejak 1999.

Oleh itu, Pelan Pembangunan telah mengenal pasti bahawa meskipun murid kita “cemerlang dalam memuntahkan semula kandungan mata pelajaran,” mereka tidak berdaya saing dalam penilaian seperti PISA dan TIMSS kerana mereka “tidak mampu menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi.” Menyedari keperluan untuk mengasah kemahiran yang akan membolehkan murid kita “untuk membuat penaakulan, mengekstrapolasi, dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif,” maka Pelan Pembangunan menggariskan 11 anjakan yang akan mengubah sistem semasa yang berorientasikan peperiksaan kepada sistem “yang kurang tertumpu kepada meramal soalan dan topik yang akan keluar dan penghafalan bulat-bulat,” dan sebaliknya melatih murid “untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan mereka dalam persekitaran yang berbeza.”

Oleh itu, dengan matlamat untuk mencapai kedudukan dalam satu pertiga teratas di peringkat global dalam penilaian antarabangsa seperti PISA dan TIMSS pada tahun 2025, banyak pembaharuan pendidikan telah dilaksanakan. Di peringkat sekolah rendah, kurikulum KBSR (Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah) telah digantikan dengan KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) yang bertujuan meluaskan tumpuan kepada pembangunan 3M (membaca, menulis dan mengira) kepada 4M dengan penambahan unsur keempat, Menaakul.

Selain itu, Pelan Pembangunan juga mengakui bahawa peperiksaan sumatif seperti UPSR, PMR dan SPM “pada masa ini tidak menguji rangkaian penuh kemahiran yang dihasratkan oleh sistem pendidikan.”[4] Justeru, dalam usaha untuk mengalih tumpuan daripada pembelajaran hafalan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, pentaksiran berasaskan sekolah akan diperkenalkan dan dimasukkan ke dalam peperiksaan UPSR dan SPM, manakala PMR akan dimansuhkan. Malah, Pelan Pembangunan menyatakan dengan jelas bahawa menjelang 2016, “sekurang-kurangnya 40 peratus daripada soalan peperiksaan UPSR dan 50 peratus dalam SPM akan terdiri daripada soalan pemikiran aras tinggi.”

Sejajar dengan halatuju baru ini, satu pekeliling bertarikh 22 Februari 2011 telah dikeluarkan oleh Kementerian bagi memaklumkan bahawa format peperiksaan UPSR akan berubah dari 100 peratus berasaskan peperiksaan pusat bertulis kepada hanya 60 peratus, manakala baki 40 peratus diperolehi daripada pentaksiran berasaskan sekolah. Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan, format baru ini dijadualkan bermula pada tahun 2016.

Maka, semenjak tahun 2011, lima tahun telah dihabiskan bagi menyediakan ratusan ribu guru dan murid untuk kaedah penilaian baru ini. Malah, pelabagai cabaran telah ditempuhi semasa pelaksanaan awal. Berikutan bantahan oleh guru-guru yang kecewa dengan proses yang rumit dan tidak cekap, sistem pentaksiran berasaskan sekolah yang kontroversi ini kemudiannya dirombak dan dipermudahkan.

Malangnya, setelah hanya dua tahun pelaksanaan Pelan Pembangunan, beberapa dasar-dasar pembaharuan kini sedang diterbalikkan. Pada 9 Oktober 2015, satu pekeliling telah dikeluarkan membatalkan keputusan 2011 itu. Ini bermakna perubahan yang sepatutnya menggabungkan 40 peratus pentaksiran berasaskan sekolah dalam peperiksaan UPSR pada tahun depan telah dibatalkan, dan UPSR akan terus menjadi 100 peratus peperiksaan pusat bertulis.

Keputusan flip-flop oleh KPM ini telah mensia-siakan semua masa dan sumber yang dilaburkan bagi menyiap sediakan pelbagai pihak untuk menghadapi format UPSR baru, apatah lagi usaha dalam membangun, melaksana dan kemudian merombak semula sistem pentaksiran berasaskan sekolah.

Selain meresapkan pentaksiran berasaskan sekolah dalam UPSR dan SPM, Pelan Pembangunan juga menyatakan bahawa penilaian secara amali bagi mata pelajaran sains akan diperkenalkan semula mulai tahun 2015. Walau bagaimanapun, dasar ini juga tidak menjadi berikutan pengumuman awal tahun ini bahawa peperiksaan amali untuk Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan, yang dijadualkan berlangsung dalam SPM tahun ini, akan ditangguhkan.

Satu lagi masalah asas yang dikenal pasti oleh Pelan Pembangunan adalah kelemahan dalam penguasaan bahasa Inggeris, faktor yang dikenal pasti sebagai “lima isu utama yang dihadapi oleh majikan di Malaysia.” Tambahan pula, hanya “28 peratus daripada murid mendapat kredit minimum dalam kertas Bahasa Inggeris SPM 2011 berdasarkan standard Cambridge 1119.”

Oleh itu, antara banyak langkah yang disyorkan oleh Pelan Pembangunan untuk menangani kelemahan tersebut adalah dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus pada peringkat SPM bermula tahun 2016.[8] Dasar ini juga kini telah ditangguhkan, dan ini mengecewakan ramai ibu bapa dan aktivis pendidikan yang telah lama menuntut komitmen sebegini untuk memperteguhkan kepentingan meningkatkan taraf penguasaan bahasa Inggeris yang kian merosot.

Kesemua keputusan flip-flop ini bukan sahaja membazirkan bertahuntahun masa dan usaha untuk melatih dan menyiap sediakan guru-guru, ibu bapa dan murid-murid, ia juga menimbulkan tanda tanya mengenai kerelevanan pelan transformasi pendidikan 12 tahun yang dikenali sebagai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ini. Apa gunanya Pelan Pembangunan ini sekarang, apabila langkah-langkah utamanya tidak dituruti?

Implikasi pusingan U dalam dasar pendidikan ini amat serius, kerana ia bukan sahaja mendedahkan kegagalan pihak Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan pembaharuan yang disyorkan oleh Pelan Pembangunan, tetapi juga untuk menyiap sediakan murid dan guru dengan secukupnya untuk format penilaian baru. Jika objektif jangka pendek pun tidak dapat dipenuhi, maka ada sebab yang kukuh untuk mempercayai bahawa Pelan Pembangunan ini adalah tidak lebih daripada sekadar satu percubaan yang tidak realistik serta tidak ikhlas dalam usaha memperbaharui sistem pendidikan.}