Aplikasi ‘myPBA’ mudahkan interaksi pelanggan

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini melancarkan peranti mudah alih pintar ‘myPBA’ untuk kemudahan semua pelanggan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP).

“Pulau Pinang bukan sahaja satu-satunya negeri yang berjaya mengelak catuan air kerana pengurusan yang cekap Kerajaan Negeri dan PBAPP, malah pada hari ini, pelanggan boleh menggunakan peranti mudah alih ‘myPBA’ untuk melaporkan segera kejadian paip pecah, kebocoran paip serta saling berkomunikasi secara langsung dengan pihak PBAPP.

“‘MyPBA membolehkan PBAPP memberikan maklumat penting kepada orang ramai melalui peranti mudah alih seperti telefon pintar dan tablet,” jelasnya yang juga Pengerusi PBAPP pada Majlis Pelancaran Aplikasi myPBA di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri hari ini berjaya melaksanakan dasar ‘Tiada Catuan Air’ melalui langkah mewartakan 62.9 kilometer (km) persegi hutan kawasan tadahan air; Dasar Pengurusan Bekalan Air Sukar dengan PBAPP sendiri pada tahun 2016 dengan melabur RM89.5 juta untuk beberapa projek menaik taraf loji rawatan air serta usaha berterusan meningkatkan kemampuan pengurusan air negeri.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa menyatakan bahawa inovasi terbaru aplikasi tersebut akan memberi manfaat kepada 589,797 pengguna berdaftar di negeri ini.

“Kami tahu dalam dunia yang saling berhubung kini, kebanyakan rakyat Pulau Pinang lebih gemar menggunakan telefon pintar dan tablet terkini setiap hari,” jelasnya sambil berharap inisiatif PBAPP tersebut bakal meningkatkan lagi tahap mutu pelanggan.

Tambah Jaseni, myPBA boleh dimuat turun secara percuma dari platform Google Play Store dan App Store.