AS, Jerman pelabur utama Pulau Pinang

Gambar: CHAN LILIAN

BATU UBAN – Pelaburan Amerika Syarikat berjumlah AS$115 juta atau RM507 juta pada tahun 2013 direkodkan sebagai kedua terbesar di negeri ini, diikuti Jerman, AS$69 juta atau RM228 juta.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, syarikat multinasional kekal sebagai penyumbang terbesar di Pulau Pinang sejak tahun 1972.

“Mengikut agregat, 40 peratus daripada pelaburan asing (FDI) Pulau Pinang adalah dari Amerika Syarikat dan Jerman, terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik (E & E),” ujarnya pada penganjuran Seminar Hari Pembekal di sini baru-baru ini.

Seminar bertemakan, ‘Kembangkan Perniagaan Anda Melalui Rakan Kongsi Antarabangsa’ tersebut dihadiri wakil-wakil syarikat domestik dan asing, wakil-wakil agensi kerajaan pusat serta pemain-pemain industri pembekalan.

Berdasarkan perkembangan itu, Guan Eng memberitahu, Pulau Pinang mempunyai lebih kemampuan menggamit minat pelabur asing ke negeri ini serta mengembangkan potensi pasaran eksportnya ke peringkat global.

“Infrastruktur muda, geografi dan modal insan yang berkualiti merupakan antara faktor penyumbang pada tarikan pelaburan ke negeri ini.

“Itu, disokong oleh faktor pembukaan jambatan baru yang dikenali Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah yang menghubungkan dua kawasan perindustrian di Batu Kawan dan Bayan Lepas.

“Pulau Pinang dilihat mampu menarik banyak pembekal global yang terbaik dalam sektor pembuatan memandangkan kita sedang menuju ke jalan transformasi ekonomi,’’ ujar beliau.