Asing sisa di punca, ADUN giat laksana taklimat kesedaran

Admin

BATU MAUNG – Sebagai inisiatif bagi menjayakan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang bakal dikuatkuasakan pada 1 Jun ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim giat melaksanakan program kesedaran tambahan membabitkan penduduk Kawasan Dewan Undangan Negerinya (KADUN) kini.

Abdul Malik berkata, taklimat berkaitan adalah salah satu usaha untuk mendidik masyarakat setempat agar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan berkenaan kelak.

“Ini adalah inisiatif khas yang diambil untuk memaklumkan isi-isi rumah di dalam kawasan Batu Maung.

“Marilah kita jadikan kawasan perumahan dan kejiranan kita sebagai contoh terbaik bukan sahaja dari aspek kualiti kehidupan, malah kebersihan juga!” serunya pada sesi Taklimat Pengasingan Sisa Di Punca Kategori Taman Perumahan di Southbay Residences di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

ABDUL Malik Abul Kassim (dua dari kiri) dan Sim Tze Tzin (tengah)
ketika merasmikan Pusat Komuniti Southbay Residences di sini
baru-baru ini.

Selain merasmikan Pusat Komuniti Southbay Residences, Abdul Malik turut berkesempatan menyantuni penduduk setempat dan mendengar keluhan serta permasalahan dihadapi mereka.