Asing sisa di punca jana pendapatan sampingan persatuan penduduk

Admin

SEBERANG JAYA – Persatuan penduduk mampu menjana pendapatan sampingan dengan melaksanakan amalan pengasingan sisa di punca, sebagaimana dikuatkuasakan oleh Majlis Perbandanan Seberang Perai (MPSP) mulai 1 Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata demikian pada Majlis Taklimat Pengasingan Sisa Di Punca dan Seberang Jaya Sihat dekat Pangsapuri Permata, Bandar Perda Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

“Kumpul sampah dan duit hasil kitar semula ini kita dapat balik, kalau kita tak ambil peluang ini dengan bilangan penduduk yang ramai di sini, macammacam kita boleh buat.

“Pengasingan dan pengumpulan sisa yang boleh dikitar semula boleh menjana pendapatan sampingan kepada persatuan penduduk dan JKKK di sini,” jelasnya yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan pada majlis berkaitan.

Turut serta, Ahli Majlis MPSP, Shuhada Abdul Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Simpang Empat/Permatang Rawa/Permatang Batu, Azhar Che Mat.

Melalui Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, Afif berharap warga Seberang Perai terus mencari jalan untuk mengurangkan keterhasilan sampah di rumah masing-masing, sekaligus membantu MPSP menjimatkan sumber dana awam pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“MPSP mampu menjimatkan kirakira RM11,110 ‘tipping fee’ dalam sehari jika 50 peratus daripada 1,100 tan metrik sampah yang dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong berjaya dikurangkan.

“Jika penduduk boleh membantu MPSP mengurangkan keterhasilan sampah harian pada 550 tan metrik sehari, ertinya jumlah ‘tipping fee’ dalam tempoh sebulan yang berjaya dijimatkan adalah kira-kira RM333,000 dan mencecah RM4 juta untuk setahun,” katanya sambil menganggap amalan kitar semula dan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang dilaksanakan sebelum ini berjaya mengurangkan keterhasilan sisa baki di Seberang Perai.

Rekod MPSP antara lain mendedahkan berat kutipan sampah MPSP dalam tempoh Januari hingga Mei 2015 berjumlah 189,240.46 tan, berbanding tempoh sama pada tahun ini seberat 172,232.56 tan, dengan angka penurunan dicatatkan sebanyak 17,008 tan.

Kadar kitar semula MPSP dan Negeri masing-masing direkodkan paling tinggi di Malaysia, iaitu 39 peratus dan 32 peratus.