Ayuh lindungi wanita, perangi jenayah seksual

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng menyeru semua pihak supaya mengambil bahagian dalam memerangi keganasan seksual ke atas wanita serta memberi sokongan supaya mangsa yang terbabit tampil menuntut keadilan di mahkamah.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutup Penang Goes Orange 2017, iaitu acara sambutan sedunia selama 16 hari sehingga 10 Disember lepas di peringkat negeri ini.

“Kita tidak harus hanya semata-mata bergantung kepada pihak polis dan pihak berkuasa sahaja, kerana jenayah seksual ini tidak terbatas pada tempat awam seperti jalan-jalan, lorong-lorong, taman, pusat membeli-belah, perhentian bas serta stesen keretapi, sebaliknya juga di sekolah, pejabat dan rumah.

“Saya ingin menyeru agar anda semua tampil ke hadapan untuk menyuarakan bantahan terhadap jenayah seksual,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod mewakili Yang di-Pertua Majlis, Dato’ Sr. Rozali Mohamud. Chong Eng memberitahu, Jawapan Bertulis di Dewan Rakyat mendedahkan bahawa sejumlah 3,960 kes diadukan kepada polis pada 2015, manakala 3,730 kes lain diadukan dalam tahun berikutnya.

“Daripada jumlah kes 2015 dan 2016 yang dilaporkan, hanya 28 peratus atau 2,180 (kes) yang telah dibawa ke mahkamah.

“Dan, daripada jumlah tersebut, hanya 8 peratus atau 644 kes yang berjaya disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman terhadap pelaku jenayah tersebut.

“Berdasarkan laporan perangkaan itu sekaligus menunjukkan betapa sukarnya membawa pemangsa jenayah seksual ke muka pengadilan,’’ tegasnya.