B. Braun buka lima kemudahan pengeluaran perubatan baharu

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI

BAYAN LEPAS – Syarikat industri perubatan, B. Braun Medical Industries (B. Braun) secara rasminya membuka lima fasiliti pengeluaran dan bangunan pentadbiran baharu di Pulau Pinang baru-baru ini. B. Braun yang mula bertapak sejak 1972 merupakan industri pengeluaran pertama produk penjagaan kesihatan global di rantau Asia Pasifik, dan telah melabur sejumlah RM4.75 bilion sehingga tahun 2018.

Mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika hadir menyempurnakan majlis perasmiannya baru-baru ini turut merakamkan penghargaan kepada syarikat tersebut kerana bukan sekadar sumbangannya kepada ekonomi negeri yang mengagumkan, malah B. Braun juga komited membangunkan modal insan.

“Penglibatan anda (B. Braun) dalam perkongsian awam, swasta, rakyat dan professional (4P) sangatlah bermakna kepada negeri ini terutamanya dalam meningkatkan inisiatif STEM (Sains, Kejuruteraan, Bahasa Inggeris dan Matematik).

“B. Braun adalah antara syarikat penaja perintis untuk Program Meister Malaysia pertama seumpamanya, yang mana mereka bekerjasama rapat bersama-sama PSDC (Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang) dalam menyediakan latihan kerja berbayar untuk pelajar-pelajar vokasional yang disokong melalui biasiswa disediakan Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM 6 juta.

“Malah, tidak hanya di situ, B. Braun juga bercadang bagi pengambilan pelajar lebih besar tahun ini dengan memberikan tumpuan kepada Automasi Mekatronik dan Elektronik,” ujarnya sambil memuji komitmen khas diberikan syarikat tersebut.

Hadir sama, Presiden B. Braun Asia Pasifik, Anna Maria Braun, Nikolaus Graff Lambsdorff (Duta Republik Persekutuan Jerman ke Malaysia), Dr. Elizabeth Anthony (Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Untuk Perkhidmatan Perubatan) dan Dato’ Loo Lee Lian (Ketua Pegawai Eksekutif investPenang).

Selain itu, menurut Guan Eng, B. Braun juga telah mewujudkan lebih daripada 3,000 peluang pekerjaan di negeri ini sejak
tahun 2009. “

Berdasarkan kepada bangunan dan kemudahan baharu ini, nampaknya mereka (B. Braun) bukan sahaja bersedia untuk melabur lebih banyak wang di tapak pengeluaran baharu, malah juga mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Pulau Pinang.

“Pada masa ini, B. Braun merupakan salah satu majikan tunggal terbesar di Pulau Pinang dengan lebih daripada 7,700 pekerja yang mana 99 peratus daripadanya adalah warganegara Malaysia,” jelasnya.

Bersempena majlis tersebut, Braun turut mewakili B. Braun menyampaikan sumbangan RM340,000 kepada Mount Miriam Hospital dan Penang Mobile Clinic sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat industri perubatan terbabit yang dikumpul melalui satu larian amal sebelum ini.