Baik pulih rumah kedai era perang, kekal identiti P. Tikus

PULAU TIKUS – Sejumlah 11 rumah kedai sebelum era perang dunia kedua yang masih kekal sehingga ke hari ini, akan dibaik pulih semula bagi mengekalkan identiti dan bentuk asal bangunan berkenaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Yap Soo Huey, sejumlah RM146,000 telah diperuntukan di bawah Projek Komuniti Lestari Pulau Tikus bagi membaik pulih bangunan yang berusia hampir 100 tahun itu.

“Projek ini turut mendapat kerjasama tuan tanah, Estate of Cheah Leong Keah (LK Cheah) dan Think City Sdn. Bhd..

“LK Cheah telah bersetuju untuk tidak menaikkan kadar sewa bagi 11 buah rumah kedai ini walaupun setelah dibaik pulih nanti.

“Sebelum pemansuhan Akta Kawalan Sewa 1966 pada tahun 2000, kadar sewa bagi sebuah rumah kedai di Pulau Tikus adalah antara RM30 hingga RM400 sebulan.

“Semenjak pemansuhan akta itu, kadar sewa telah naik mendadak hingga mencecah RM2,500 sebulan pada tahun 2010 dan kini (2015), saya difahamkan kadar sewa naik sehingga RM3,800 sebulan.

“Saya amat berbesar hati apabila tuan tanah telah bersetuju untuk tidak menaikkan kadar sewa bagi tempoh empat tahun akan datang,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Think City Sdn. Bhd., Hamdan Abdul Majeed. Projek Komuniti Lestari Pulau Tikus akan melibatkan kerja-kerja pemulihan bagi lapanbuah rumah kedai di Jalan Burma dan tiga buah rumah kedai lagi di Solok Moulmein di sini.

Mengulas lanjut, Soo Huey memberitahu, kerja-kerja membaik pulih akan dimulakan penghujung bulan September 2015 dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

“Ini (kerja-kerja pemulihan) termasuk menggantikan kesemua tingkap dengan penutup berbidai kayu, kekisi kayu di bahagian bawah dan panel tetingkap berkayu keras.

“Apabila siap kelak, kesemua rumah kedai akan mempunyai kanvas sengkuap tarpaulin untuk berteduh serta papan tanda kedai yang bersaiz standard dan berlampu.

“Selain itu, pengecatan semula juga akan dilakukan dengan kos kira-kira RM20,000,” ujar beliau.

Dalam pada itu, tambah Hamdan, projek pemulihan semula rumah-rumah kedai tersebut adalah permulaan mengembalikan semula ‘kisah’ dan identiti Pulau Tikus.

“Warisan kebudayaan yang terdapat di sini adalah aset untuk masa hadapan Pulau Pinang.

“Oleh demikian, adalah penting untuk kita berganding bahu memelihara dan memulihara bangunan-bangunan bersejarah dan juga warisan hidup ini dari terus dimamah masa,” jelas beliau.

} else {