Baik pulih Taman Inggeris & pancuran abad ke-19 sebagai lokasi awam

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN WEI

PADANG KOTA – Sebuah taman berkonsepkan taman Inggeris dan pancuran yang pernah wujud pada lewat abad ke-19 kini sedang dipulihkan semula sebagai tempat awam. Projek bernilai kira-kira RM350,000 itu dibiayai sepenuhnya oleh Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity).

Menurut arkitek projek, Teng Pe Yang, rekod-rekod pemetaan lama banyak dijadikan sebagai rujukan tentang kewujudan taman tersebut yang dianggarkan merangkumi sehingga ke taman di kawasan Dewan Sri Pinang.

“Bagi pokok-pokok yang berada di kawasan ini kita akan kekalkan… sekarang memasuki fasa penglabelan kawasan tapak dengan mengambil kira elemen landskap, dan fasa akhir akan dimasukkan hiasan seperti perabot bagi tujuan mengindahkan lagi taman ini.

“Kami menganggarkan kerja-kerja yang dimulakan pada Februari 2018 mampu siap pada awal Mei nanti untuk kemudahan orang ramai,” jelasnya sempena lawatan tapak di sini baru-baru ini.

Mengetuai delegasi, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow. Hadir sama, Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Addnan Mohd. Razali; Ahli Majlis bagi MBPP, Wong Yuee Harng; Pengarah Urusan ThinkCity, Hamdan Abdul Majeed dan Pengarah Program ThinkCity, Murali Ram.

Menurut Kon Yeow, pemulihan kawasan taman berkenaan adalah selaras dengan penubuhan Special Area Plan (SAP) pada 2015 dalam usaha memulihara, menambah baik dan menaik taraf kawasan di George Town yang diiktiraf sebagai Bandar Warisan UNESCO.

“Pelbagai projek telah dilaksanakan melalui SAP…baru-baru ini juga saya membuat lawatan di Gat Lebuh Cina yang sedang dinaik taraf sebagai kawasan siar awam, naik taraf padang di Esplanade, naik taraf lorong-lorong belakang dan lainlain.

“Melalui SAP juga kita bercadang untuk membaiki semula tembok di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah (tepi laut Padang Kota) kerana kita dapati berlaku hakisan. Saya bimbang jika struktur di situ akan lemah dan berkemungkinan jalan tersebut runtuh,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Difahamkan, laluan pejalan kaki di Lebuh Light juga akan dinaik taraf dalam masa terdekat. Kerja-kerja naik taraf tembok akan bermula dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga ke Astaka Medan Renong.

Tambah Kon Yeow, kerja-kerja naik taraf kawasan awam tersebut giat dijalankan bagi memaksimumkan penggunaan ruang kepada masyarakat selari dengan konsep mesra kepada semua.

Mengikut catatan sejarah, landskap taman pancuran di Padang Kota telah didermakan oleh Koh Seang Tat sempena memperingati pembukaan Dewan Bandaraya pada tahun 1883.


Kategori: Bahasa Malaysia, Semasa

Comments are closed.



Artikel Terkini

Like Our Facebook Page

Muat Turun Buletin Mutiara

Twitter

Buletin Mutiara Videos

Komen Terkini

  1. Program tersebut telah lama diadakan sej... in ADUN komited teruskan program gunting rambut percuma
    on September 9, 2015
  2. Saya ingin tahu rumah terbuka di seluruh... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on August 3, 2015
  3. 1 Ogos 2015 - Ahli Parlimen Bukit Bender... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015
  4. Salam hormat, Berikut adalah senarai y... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015

Archives