Bajet 2015 MPSP, tekan 7 fokus perkhidmatan

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dijangka mengalami defisit RM30,447,875 pada tahun depan dengan perbelanjaan mengurus berjumlah RM243,836,559, berbanding anggaran hasil RM213,388,684.

Yang di-Pertuanya, Datuk Maimunah Mohd. Sharif semasa membentangkan cadangan Bajet MPSP 2015 itu berkata, peningkatan perbelanjaan mengurus adalah sebanyak 5.33 peratus pada tahun hadapan berbanding tahun 2014.

“Perbelanjaan mengurus meningkat pada tahun 2015 antara lain disebabkan kenaikkan gaji tahunan kakitangan, kenaikkan kos bekalan dan utiliti serta kos emolumen dan bekalan pakaian seragam bagi tambahan pekerja am.

“(Bagaimanapun,) defisit yang dicadangkan ini akan ditampung daripada Kumpulan Wang Majlis yang (keseluruhannya) berjumlah RM86.04 juta pada Disember 2013,” ujarnya di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Bajet bertemakan ‘Seberang Perai Kondusif dan Progresif Bersama Komuniti’ itu kemudiannya dipersetujui ahli majlis mesyuarat dewan.

Menurut Maimunah, MPSP pada tahun 2012 dan 2013 umpamanya turut mencadangkan bajet defisit, iaitu masing-masing sebanyak RM29.69 juta dan RM10.35 juta.

Pun begitu, jelas beliau, MPSP semasa penutupan akaun berakhir 31 Disember telah berjaya memperoleh lebihan kewangan (surplas) sebanyak RM4.15 juta bagi tahun 2012, dan RM2.74 juta pada tahun 2013.

“Bajet MPSP tahun ini pun defisit RM27 juta, (tetapi) kita jangka akan berlaku surplas juga bagi tahun 2014, kerana akaun
ditutup pada 31 Disember ini,” ujar Maimunah.

Bajet 2015 MPSP yang dicadangkan memberikan penekanan ke atas tujuh fokus perkhidmatan, iaitu kebersihan sebanyak RM93.68 juta, diikuti, Keselamatan & Lalulintas (RM16.61 juta), Infrastruktur & Kemudahan Awam (RM15.12 juta), kawalan banjir (RM8.09 juta), pengindahan & kehijauan (RM4.08 juta) dan penglibatan komuniti (RM2.33 juta).

Perbentangan Bajet MPSP 2015 berdasarkan peruntukan Seksyen 55 Akta Kerajaan Tempatan 1976.