Bajet 2017 Pusat tiada peruntukan bina SMJKT pertama negara di P. Pinang – TKM II

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI BAKAP – Bajet 2017 Pusat yang masih tidak memberi peruntukan pembangunan untuk pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Tamil (SMJKT) pertama negara di Pulau Pinang, sebagaimana dihasrat Kerajaan Negeri terus dipersoal.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy menganggap belanjawan tahunan kali ini seakan-akan ‘kosmetik politik’ Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan sokongan komuniti India dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Kalau ada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC), Sekolah Menengah Inggeris (aliran Mubaligh), kenapa tidak boleh membenarkan pembinaan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil (SMJKT).

“Dia (Kerajaan Pusat) kata Akta Pendidikan tidak membenarkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil (SMJKT)…tapi untuk bina SMJKT pertama negara di Pulau Pinang, dia (Kerajaan Pusat) hanya perlu beri lesen kepada kita (Kerajaan Negeri) saja.

“Kalau 60 tahun punya masalah pun dia (Barisan Nasional) tidak boleh menyelesaikan masalah kaum India, bagaimana bajet tahunan ini boleh menyelesaikan masalah kaum India.

“(Bajet 2017 Pusat) ini cuma perhiasan dan ‘kosmetik politik’, cuma untuk mendapatkan kembali sokongan kaum India bagi pilihan raya umum nanti,” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali di kediaman peribadinya di sini 29 Oktober lalu.

Sejak tahun 2011, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan hasrat Kerajaan Negeri untuk membina SMJKT pertama negara di Pulau Pinang. Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri bersedia memberikan sebidang tanah dengan syarat Kerajaan Pusat membiayai kos pemajuan SMJKT pertama negara itu.

Walaupun saban tahun Guan Eng dan Ramasamy merayu supaya Kerajaan Pusat merealisasikan hasrat kaum India di negeri ini, namun dalam Bajet 2017 Pusat, masih tiada pengumuman peruntukan berwajib.

Selain Guan Eng, majlis tersebut turut dihadiri Yang diPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang yang juga ADUN Bukit Tambun; Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir); Dato’ Maktar Shapee (ADUN Sungai Bakap merangkap Timbalan Yang di-Pertua DUN Pulau Pinang); Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubok); Dato’ Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal) serta beberapa pemimpin Kerajaan Negeri yang lain.