Bajet MBPP 2018, pandangan dan input masyarakat dirujuk

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

SUNGAI PINANG – Ke arah pembangunan sebuah bandar lestari, pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berperanan sebagai penyedia perkhidmatan menjadi kunci kejayaan kepada Agenda 2030 diterajui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Selaras dengan agenda tersebut, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selaku PBT yang berurusan secara langsung dengan komuniti mengambil inisiatif mengadakan dialog bersama-sama masyarakat bagi memperoleh input serta maklumat yang bakal diguna pakai dalam pelaksanaan Bajet MBPP 2018.

Yang di-Pertua MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail berkata, penganjuran program Dialog Bajet 2018 merupakan kesinambungan daripada Banci Kaji Selidik Bajet ‘Suara Anda, Hak Anda’ yang sedang dijalankan oleh MBPP sejak April lalu.

“Dialog ini melibatkan sesi perbincangan yang dibahagikan kepada empat teras utama iaitu sihat, bersih dan hijau, selamat serta kemudahan awam.

“Bajet dialog ini adalah selari dengan Agenda 2030 untuk Pembangunan Lestari diterajui PBB yang umumnya menjadi kunci utama kepada kejayaan agenda ini.

“Oleh itu, segala maklumat daripada hasil perbincangan yang diadakan akan dirujuk semasa perancangan bajet MBPP tahun hadapan,” ujarnya pada Dialog Bajet MBPP 2018 anjuran bersama MBPP dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey dan Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Ling.

Hampir 100 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza etnik, kumpulan umur dan pendidikan terlibat sama dalam proses menentukan bajet berkaitan.