Bantu JKKK pantau palang besi Kampung Dock

Teks dan Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT TENGAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah menggesa penduduk Kampung Dock di sini supaya bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) kawasan terbabit bagi memantau kerosakan palang besi yang dilaporkan di sini baru-baru ini.

ADUNnya, Ong Chin Wen berkata, palang tersebut dipasang ekoran permintaan penduduk yang berasa tidak selamat dengan kehadiran bas dan lori yang memandu laju melalui kawasan itu.

“Jalan berdekatan dengan kampung ini sering dijadikan laluan alternatif oleh pemandu-pemandu lori dan bas kilang bagi mengelakkan kesesakan di jalan utama sekaligus membahayakan nyawa penduduk terutamanya kanak-kanak di sini.

“Jalan tersebut asalnya hanya digunakan pemandu kereta dan penunggang motosikal di kampung ini, tetapi ia semakin kerap dilalui bas serta lori sejak kebelakangan ini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke lokasi kejadian di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Majlis bagi MPSP, Shafiqah Shobha Abdullah dan Pengerusi JKKK Kampung Dock, Ahmad Hussin.

Menurut Chin Wen, usaha diambil pihak beliau dengan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) seperti sia-sia kerana palang yang dipasang telah dirosakkan dan dicabut selepas tempoh masa dua hari pemasangan.

“Kali pertama ia dirosakkan adalah pada 28 Jun lepas sebelum dibaiki semula pada 4 Julai dengan bantuan JKR.

“Kini, palang tersebut dirosakkan lagi sehingga tercabut,’’ tegasnya.

Dalam pada itu, Chin Wen turut tidak menolak kemungkinan bahawa palang tersebut dirosakkan pihak yang bertindak membuang sampah secara haram berdekatan laluan tersebut.

“Daripada hasil tinjauan pada hari ini, kita dapati terdapat tapak pembuangan sampah haram yang digunakan pengusaha kilang di sini.

“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa palang ini dicabut untuk membolehkan lori masuk ke tempat pembuangan sampah haram.

“Justeru, MPSP diminta memantau keadaan ini,” seru Chin Wen.