Bantuan pembangunan sekolah Tamil, tadika diteruskan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Sejak tahun 2009, Kerajaan Negeri memperuntukkan bantuan kewangan berjumlah RM1.75 juta kepada 28 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Pulau Pinang bagi tujuan pembangunan sekolah.

Malah, turut diumumkan pada tahun ini sejumlah RM100,000 diperuntukan sebagai bantuan khas kepada tadika-tadika di sekolah Tamil di negeri ini.

Inisiatif pemberian bantuan kewangan tersebut bukan sahaja untuk melaksanakan kerjakerja penambahbaikan kemudahan infrastruktur, tetapi juga mewujudkan suasana sekolah yang kondusif dan selesa untuk pembelajaran.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan berkata, Kerajaan Negeri akan terus membantu meningkatkan taraf akademik sekolah-sekolah Tamil di negeri ini seperti yang dijanjikan.

“Pemberian bantuan kewangan ini telahpun memasuki tahun ketujuh sejak 2009 dan dianggap berjaya apabila penerima (sekolahsekolah Tamil) berjaya menambahbaik kemudahan di sekolah masing-masing,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Cek Peruntukan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri kepada Sekolah-sekolah Tamil 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II selaku Exco Pendidikan), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Batu Uban, Dr. T. Jayabalan dan A. Tanasekharan (ADUN Bagan Dalam).

Tambah beliau, selain menambahbaik kemudahan seperti pembinaan dewan sekolah, mewujudkan pondok bacaan, pondok menunggu dan stor alatan sukan, peruntukan tersebut juga digunakan untuk menaiktaraf tandas, lantai, longkang, bilik darjah, pejabat guru dan memperbaiki bumbung yang bocor.

“Pendek kata, Kerajaan Negeri telah membantu memperbaiki infrastruktur di sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang sehinggakan ia dikatakan sebagai yang terbaik di seluruh negara dari segi kemudahan fizikal,” ujarnya yang berharap agar prestasi cemerlang dapat ditonjolkan para pelajar di sekolah-sekolah Tamil terutama dalam peperiksaan awam negara.

Serentak itu, beliau turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri juga merancang untuk membuka dua buah tadika lagi di sekolah Tamil dalam masa tiga tahun ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut meluahkan rasa terkilan kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mendesak supaya sekolah Tamil ditutup.

“Hak mewujudkan sekolah Tamil dan sekolah Cina telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan tidak ada pihak yang harus mempersoalkannya lagi,” tegasnya.

Sebagai tambahan, Guan Eng juga telah menulis kepada Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri menawarkan tanah sebagai ganti untuk kebenaran mendirikan sekolah menengah Tamil di Pulau Pinang.

“Malangnya, permintaan ini tidak diberikan pertimbangan wajar dengan memberi alasan bahawa Akta Pendidikan Negara tidak membenarkan sekolah menengah dalam aliran Tamil,” ujar beliau dalam nada terkilan.} else {