Basikal lebih dua roda dilarang beroperasi di zon warisan

Admin

GEORGE TOWN – Tiga kompaun di bawah Undang-undang Kecil (3) Menjalankan Perniagaan Tanpa Lesen dan Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) 1991 dikeluarkan terhadap tiga pemilik premis yang didapati menjalankan perniagaan menyewa basikal empat roda di sini baru-baru ini.

Jumlah tersebut adalah hasil enam pemeriksaan yang dijalankan pada operasi bersepadu penguatkuasaan membabitkan MBPP, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 22 April lalu.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui laman Facebooknya menyatakan bahawa tiga kompaun tersebut adalah disebabkan kesalahan tindakan mempamerkan iklan penyewaan basikal empat roda yang telah diharamkan penggunaannya sebelum ini yang tidak memperoleh kelulusan daripada JPJ.

“Semua pemilik premis telah diberikan nasihat dan amaran agar segera menghentikan aktiviti sewaan basikal empat roda kepada pengguna sebelum ini,” jelas kenyataan berkaitan di sini.

Operasi penguatkuasaan tersebut adalah antara langkah drastik yang dijalankan oleh MBPP bersama-sama JPJ dan PDRM bagi membendung penggunaan basikal empat roda di sekitar kawasan Tapak Warisan Dunia George Town kini.

Terdahulu, dalam sidang media berasingan, Setiausaha Bandaraya, Ar. Yew Tung Seang mengesahkan, MBPP tidak pernah melulus atau membenarkan penggunaan basikal empat roda beroperasi di zon warisan.

Malah, difahamkan sejak 1 Januari lalu, MBPP telah mula mengeluarkan notis kepada para pengusaha memaklumkan larangan terhadap semua jenis aktiviti basikal yang melebihi dua roda daripada beroperasi di atas jalan raya.

“Perkara ini tertakluk di bawah Seksyen 107 (2), Akta Kerajaan tempatan 1976.

“Operasi penguatkuasaan termasuk rampasan (basikal) telah mula dijalankan sejak tahun lepas dan tahun ini, kita (MBPP) akan terus merancakkan operasi membanteras penggunaan basikal jenis ini,” jelasnya.

Menurut statistik Bahagian Pelesenan MBPP, sebanyak 18 basikal telah dirampas sepanjang tahun lalu, yang mana 13 daripadanya telah dituntut semula dan baki (5) masih belum dituntut dan berada di stor MBPP Jalan Timah di sini.