Bawa aktiviti zumba ke desa – Rashid

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berhasrat membawa aktiviti senam zumba ke kawasan desa sebagai galakkan kepada kehidupan cergas rakyat negeri ini.

Beliau menyatakan hasrat berkenaan ketika merasmikan penganjuran Get Red-Y For Zumba di Lebuh Pantai di sini barubaru ini.

Ucap beliau, acara tersebut dianjurkan untuk menggalakkan gaya hidup sihat, cergas dan cerdas bagi melahirkan Pulau Pinang yang lebih Hijau, Bersih, Sihat dan Selamat.

“Acara zumba yang berlangsung kirakira satu jam ini boleh membakar 1,000 kilokalori (kcl) dan dapat membantu menguatkan otot, terutamanya di bahagian bawah badan serta membantu memberi keseimbangan dan koordinasi pada tubuh badan,” ujarnya pada majlis tersebut di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Sha’ari Md. Salleh.

Seramai 1,000 peserta memeriahkan acara penuh bertenaga yang dikendalikan pelatih zumba, Zin Mary dan Zin Hanif berkaitan.

Program tersebut memperoleh tajaan dari Occupy Beach Street, Sunquick Malaysia, Maestro Swiss Chocolate Sdn. Bhd., Regal Marketing & Trading Sdn. Bhd. dan Sarinani Juru Venture.