‘Bayar balik’ biasiswa dengan kejayaan – ADUN

BERTAM – Seramai 132 penerima Skim Biasiswa Kecil Negeri (SBKN) peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua, Pinang Tunggal dan Penaga menerima sumbangan biasiswa RM600 atau RM840 yang keseluruhannya berjumlah RM95,520 daripada Kerajaan Negeri.

Wong Hon Wai selaku Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, dalam ucapannya berharap, sumbangan itu dapat digunakan sebaik mungkin untuk keperluan pengajian di sekolah semata-mata.

“Biasiswa ini adalah peluang anda membantu diri sendiri dengan belajar bersungguh-sungguh, untuk mengubah masa depan keluarga.

“Jangan lupa ‘bayar balik’ biasiswa ini dengan kembali membawa kejayaan dalam pelajaran, dan berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang suatu hari nanti,” ucapnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam pada Majlis Penyampaian Sumbangan SBKN peringkat KADUN Sungai Dua, Pinang Tunggal dan Penaga di sini baru-baru ini.

Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainul, Ahmad Nazar Sharin (Penghulu KADUN Pinang Tunggal), Lay Hock Peng (Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti, JKKK Kepala Batas) serta duaAhli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ahmad Tarmizi Abdullah dan Mohamad Shaipol Ismail turut sertai majlis pemberian sumbangan tersebut.

Dalam pada itu, waris penerima, Auruz Wahab, 55, melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana anak bongsunya, Nurul Izzati Auruz, 14, murid dari Maahad Al-Imam An- Nawawi menerima sumbangan berkaitan.

“Ini kali pertama untuk anak bongsu saya dapat biasiswa kecil daripada Kerajaan Negeri.

“RM600 ini banyak bagi keluarga kami, dapatlah menampung keperluan belajar anak saya ini,” ujar Auruz kepada wartawan.

Difahamkan, seramai 1,591 pelajar terpilih menerima sumbangan tahunan kirakira RM1.2 juta di bawah skim biasiswa tersebut setakat ini