Bayaran mangsa banjir Pusat, Pulau Pinang hanya terima 0.015 peratus daripada keseluruhan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri masih menunggu bantuan banjir RM500 daripada Kerajaan Pusat dan pembayaran tersebut diharap dapat disegerakan setelah Kerajaan Negeri membuat pembayaran RM700 baru-baru ini, gesa Ketua Menteri, Y.A.B., Lim Guan Eng.

Katanya, sehingga hari ini, beliau memaklumkan bahawa ‘tiada apa-apa’, dan pihaknya masih menunggu jawapan Kerajaan Pusat.

“Mereka (Kerajaan Pusat) cakap akan uruskan, saya pun sudah tulis surat kepada Perdana Menteri, oleh itu saya harap mereka (Kerajaan Pusat) boleh bagi bantuan RM500 seperti yang mereka (Kerajaan Pusat) bagi kepada negeri-negeri lain.

“Seperti yang saya sebut, sejak 2013 hingga sekarang, Kerajaan Pusat buat bayaran kepada mangsa banjir sebanyak RM235 juta, tetapi daripada jumlah itu, Pulau Pinang hanya terima RM35,500, itu hanya 0.015 peratus dan ini jumlah yang terlalu kecil dan susah diterima.

“Mengapa Pulau Pinang dianaktirikan dan didiskriminasikan? Saya harap Pulau Pinang boleh dapat bantuan RM500 itu kerana rakyat Pulau Pinang pun rakyat Malaysia juga, jangan pinggirkan rakyat negeri Pulau Pinang,” katanya pada sidang media Program Penyampaian Bantuan Khas One-Off Bencana Banjir Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi Daerah Timur Laut di sini 16 Disember lalu.

Bercakap berkenaan projek rancangan tebatan banjir (RTB), melalui Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, difahamkan bahawa Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Dr. Ali Hamsa) akan turun memantau dan menilai projek-projek RTB Pulau Pinang.

“Saya harap ianya akan memberikan berita baik. Tetapi kita (Kerajaan Negeri) masih tunggu bantuan secara terus kepada mangsa-mangsa banjir,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih. Hadir sama, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta ADUN-ADUN bagi Daerah Timur Laut.