Bekas pemain sepak takraw negeri terharu terima sumbangan

Teks & Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF

PRIHATIN… Selepas hampir enam bulan mengalami kesukaran untuk berdiri dan berjalan, Md. Salleh Osman, 65, dari Bayan Baru terharu apabila menerima sumbangan kerusi roda baru-baru ini.

Bapa kepada lima anak tersebut amat bersyukur kerana sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon tersebut seolah memberikan sinar baharu dalam kehidupannya.

Md. Salleh yang merupakan bekas Pembantu Makmal di Universiti Sains Malaysia (USM) didiagnosis mengidap Paralysis Agitans atau lebih dikenali sebagai Parkinson.

Ekoran itu, beliau kini hilang upaya sepenuhnya untuk berjalan. Mohd. Rashid ketika ditemui berkata, sebagai ADUN kawasan, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membantu meringankan beban masyarakat setempat.

“Diharap dengan sumbangan ini, dapat membantu beliau (Md. Salleh) untuk bergerak,” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri I pada majlis sumbangan berkaitan.

Difahamkan, Md. Salleh sekitar tahun 70-an merupakan bekas pemain sepak takraw Pulau Pinang dan pengadil bola sepak bagi Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).