Beli air dari Perak, KM tuntut campur tangan Pusat

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN – Hasrat Kerajaan Perak yang mahu menjual air terawat sahaja walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk membeli air mentah (sahaja) daripada negeri tersebut perlu campurtangan daripada Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pihaknya hanya bersetuju untuk membeli air mentah sahaja demi memastikan tarif air di negeri ini tidak melambung naik disebabkan impak berantai oleh pembelian air terawat dari Perak semahal kira-kira 73 sen setiap 1,000 liter padu.

Lagipun, katanya, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili sendiri pernah berjanji untuk memenuhi keperluan air mentah Pulau Pinang pada masa hadapan, sebagaimana disebut semasa pemeteraian perjanjian penghijrahan aset dari Pulau Pinang kepada Pusat sebelum ini.

“Saya tidak bersetuju kerana tarif air terawat Perak adalah 2.3 kali ganda tarif Air Pulau Pinang, (walhal) dalam cadangan tarif air domestik terbaru (Pulau Pinang) pun masih kekal terendah berbanding negeri-negeri lain.

“Mengapa Pahang boleh menjual air mentah kepada Selangor, mengapa Pulau Pinang tidak boleh membeli air mentah (dari) Perak…ini sama sekali tidak adil untuk rakyat Pulau Pinang.

“Saya berharap Pusat boleh campur tangan, serta menunaikan janjinya untuk memajukan SPRWTS (Cadangan Skim Bekalan Air Mentah Sungai Perak) dengan peruntukan RM2 bilion demi menjamin bekalan air mentah selepas tahun 2020 di Pulau Pinang adalah mencukupi,” katanya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan & Utiliti, Lim Hock Seng dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri) turut menyertai sidang media itu.

Guan Eng dalam surat bertarikh 26 Jun lepas kepada Maximus Johnity ada menjelaskan, tarif air domestik Pulau Pinang yang dicadangkan adalah serendah 32 sen per 1,000 liter untuk kegunaan 35,000 meter padu pertama tiap-tiap bulan.

Surat sama turut menjelaskan bahawa Kerajaan Perak melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) pada 16 Disember tahun lepas bahawa
mereka hanya bersetuju menjual air terawat sahaja kepada Pulau Pinang.

Justeru, Guan Eng menegaskan, pembelian air terawat daripada Kerajaan Perak akan mengakibatkan wujudnya peningkatan kos berantai pada pengurusan bekalan air terawat negeri, sekaligus, menjejaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengekalkan tarif air terendah berbanding negeri-negeri lain.

Dalam perkembangan sama, portal akhbar perdana berbahasa Malaysia, Berita Harian pada 10 Julai lepas turut melaporkan bahawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengesahkan bahawa pihaknya hanya akan menjual air terawat, walaupun ada negeri tertentu mahu membeli air mentah daripada Kerajaan Perak.