Belia berkira-kira belanja beli rumah atau guna pengangkutan awam

RATA-rata belia graduan universiti mengimpikan gaji bulanan pertama mereka antara RM3,500 hingga RM4,500 untuk hidup selesa di bandar-bandar maju, seperti Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Malah, kajian atas talian portal pada tahun lalu mendapati graduan universiti ada yang menginginkan pendapatan tetap lebih dari itu, setinggi RM6,500 sebulan.

Pun begitu, realitinya ratarata majikan hanya menawarkan purata gaji antara RM1,800 hingga RM2,500 untuk belia lepasan universiti.

Dengan purata gaji sebegitu, sudah pasti golongan muda terpaksa mengikat perut, berkongsi sewa rumah atau tinggal di rumah keluarga, mengawal kuasa membeli.

Ini, demi memastikan gaji bulanan yang diperoleh cukup untuk menyerap kos sara hidup di bandar raya George Town yang dikatakan kian meningkat.

Contoh paling ketara, harga secawan ‘kopi peng’ di George Town pada lima tahun lalu RM1.20 sahaja, tetapi kini jika ditawarkan dengan harga RM1.70 pun sudah cukup baik.

Kenaikan kadar sewa hartanah jenis bangunan warisan di George Town mengakibatkan pengusaha rata-rata kafe eksklusif menawarkan harga secawan kopi yang sama antara RM5 hingga RM12.

Kalau di kedai-kedai yang mempunyai jenama tersohor, secawan kopi boleh mencecah RM18. Ini realitinya.

Maka tidak hairanlah, data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan bahawa purata perbelanjaan bulanan isi rumah dalam tempoh tahun 2009 hingga 2014 mencecah 59 peratus, bahkan realitinya lebih dari itu.

Jika perbelanjaan pekerja lepasan ijazah untuk makan minum, sewa rumah, sewa beli kenderaan peribadi menelan lebih 59 peratus gaji bulanan, berapakah jumlah duit simpanan pasif mereka setiap bulan.

Tapi, bersediakah belia mengubah tabiat bergerak dengan menggunakan pengangkutan awam untuk menjimatkan sumber pendapatan gaji yang tidak lebih RM2,500 sebulan, jika cadangan Kerajaan Negeri hari ini untuk membina pelbagai mod pengangkutan awam di Pulau Pinang?

Responden sulung yang mahu dikenali sebagai ROHANADIAH, seorang eksekutif, 26, memberi reaksi sebenar ketika diwawancara oleh wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di George Town barubaru ini.

“Sejujurnya, (gaji bulanan) RM2,500 tidak cukup, tetapi kita perlu mencari jalan untuk menyimpan (sejumlah duit gaji) serta lebih berjimat-cermat dalam berbelanja,” ujarnya.

Rohanadiah bagaimanapun mempunyai alasan tersendiri untuk berjimat-cermat, tetapi tidak dengan cara menggunakan kenderaan awam atau berkongsi kereta.

“Saya lebih suka memandu kenderaan (peribadi) kerana lebih menjimatkan masa, kalau kongsi kereta pun bukan sesuatu yang masalah bagi saya.

“Pun begitu, jika ada pengangkutan awam yang sesuai ke tempat saya bekerja, saya akan menggunakannya kerana ia lebih menjimatkan wang daripada dihanguskan untuk minyak petrol dan tol (jika menggunakan kenderaan peribadi seperti sekarang),” jelas beliau.

Sebagaimana diketahui umum, Kerajaan Negeri hari ini cuba merealisasikan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) untuk menangani cabaran trafik pada waktu puncak kini sehingga tahun 2050.

Konsortium SRS dilantik sebagai rakan pelaksana projek (PDP) untuk pelan pembangunan bercampur di bawah PIP, antaranya, pembinaan transit aliran ringan (LRT) dari Komtar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dekat Bayan Lepas, monorel dan sistem aliran bas transit (BRT) ke seluruh pelusuk negeri ini.

Realitinya, dengan gaji bulanan serendah RM2,500, ia tetap mendorong rata-rata pekerja lepasan ijazah untuk memiliki kereta mewah sendiri dengan kadar sewa beli antara RM500 hingga RM1,000.

Secara kira-kira, tanpa membeli sebuah kereta nasional Perodua Myvi dengan kadar sewa bulanan sejumlah RM540 umpamanya, seseorang boleh menjimatkan sumber pendapatan sejumlah RM45,360 dalam tempoh bayaran balik tujuh tahun.

Bayangkan! Mungkin inilah antara perkiraan sesetengah belia yang ingin kuasa membeli dan menyimpan lebih sumber pendapatannya, dengan bergerak menggunakan kenderaan awam tiap-tiap hari. KOK HIN, 24, kebiasaannya ke tempat kerja dengan menggunakan bas RapidPenang menyebabkan beliau kian mahir menggunakan bas awam berbayar utama tersebut sekarang.

Malah, dengan pengurusan waktu secara strategik menyebabkan waktu perjalanan lebih lancar ke destinasi, berbanding rakan-rakan yang menempuh trafik sesak dengan menggunakan kenderaan peribadi.

“(Penggunaan bas awam) sebenarnya boleh, maksud saya adalah saya tidak fikir seseorang sanggup menunggu selama 15 minit, tetapi tempoh menunggu berganjak 10 minit atau lima minit lagi, saya fikir mereka (pekerja lepasan universiti) mungkin tiada kecenderungan untuk menggunakan pengangkutan awam.

“Jika masa menunggu dipercepatkan, serta perjalanan boleh lancar sampai ke destinasi tepat pada masanya, ya saya akan menggunakannya (pengangkutan awam),” jelasnya.

Tambah beliau, tabiat anak muda kini untuk menunggu bas dalam tempoh 10 minit hingga 20 minit bukanlah sesuatu yang mencabar, jika ada telefon pintar untuk mereka bersosial melalui Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.

Namun, perlu ada ketersambungan mod pengangkutan dari rumah ke satu-satu destinasi secara mudah jika terlaksana naik turun bas dan LRT nanti.

“Saya tidak akan mengambil sampai dua bas jika saya mampu bergerak ke satu-satu destinasi dengan memandu sendiri bukan?

“Tetapi, jika saya hanya perlu mengambil satu bas dan kekerapan bas begitu cepat dan kerap, mungkin saya akan menggunakan (bas awam),” ujarnya.

Penuntut sebuah kolej swasta, yang mahu dikenali sebagai SYAMALA, 21, pula memberikan reaksi lain.

Katanya, beliau akan menggunakan pengangkutan awam seperti bas jika pemandu mesra pengguna serta waktu perjalanan tepat mengikut jadual.

Menurut beliau, mutu perkhidmatan pengangkutan awam negeri sememangnya perlu dibaiki.

“Mungkin masa itu (selepas dibaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam, saya akan menggunakannya), dengan sikap pemandu sekarang? Kadangkadang segelintir mereka seakan -akan bersikap kurang dedikasi,” responsnya sambil menyambut hasrat memperbaiki mod pengangkutan awam negeri.

Tambah Syamala, memperbanyakkan mod pengangkutan awam di Pulau Pinang mampu merealisasikan idea ‘Moving People, Not Car’.

Seorang lagi responden dikenali NIDHAL, 25, memberitahu kecenderungan belia menggunakan pengangkutan awam akan mendorong mereka menjadikan impian memiliki kereta mewah sebagai perkara yang tidaklah begitu penting.

Pekerja lepasan universiti, katanya, mungkin akan bersahaja memenuhi kelayakan untuk membuat pinjaman perumahan bank dan memiliki rumah mampu milik impian masing-masing.

“Kerajaan perlu menyediakan beberapa insentif kepada kita.

“Sekurang-kurangnya, Kerajaan perlu mencari jalan untuk membantu mempercepatkan (proses kelulusan) pinjaman perumahan kerana tidak semua bertuah untuk memiliki rumah impian dengan pendapatan bulanan kira-kira RM2,000.

“Lebih malang, jika gaji serendah RM1,800 atau lebih rendah daripada kadar itu…saya fikir Kerajaan perlu memikirkan isu gaji rendah untuk belia hidup dengan kos sara yang agak tinggi,” jelas beliau.

Nada yang sama turut dikongsi oleh AHMAD FIKRI, 24.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sendiri perlu menyediakan kredit pinjaman perumahan bagi membolehkan lebih ramai pekerja lepasan ijazah dengan gaji serendah RM2,500 layak memiliki rumah impian sendiri.

Lagipun katanya, ketika ini, kadar penolakan permohonan pinjaman perumahan bank melebihi 60 peratus.

Beliau mengesyorkan Kerajaan Negeri supaya membina rumah mampu milik selesa untuk disewa oleh belia pada kadar yang minimum, sesuai dengan gaji mereka di bawah RM2,500.}