Bengkel Kitar Semula pupuk kesedaran penduduk

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


AIR ITAM – Penganjuran Bengkel Kitar Semula lazimnya dapat mendidik dan menyedarkan penduduk setempat tentang perlunya inisiatif berkenaan dilakukan setiap masa bagi menjaga kehijauan alam sekitar pada hari ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai pada penganjuran program berkenaan di Flat Kampung Melayu di sini baru-baru ini.

Katanya, program julung kali tersebut bertujuan menyampaikan maklumat mengenai proses dan kepentingan kitar semula kepada
semua penduduk demi mengurangkan sisa pepejal yang kian bertambah kini.

“Pada masa sama, ia juga bagi menyahut seruan Kerajaan Negeri berteraskan prinsip Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat,’’ katanya pada Bengkel Kitar Semula di sini baru-baru ini.

Program dihadiri kira-kira 50 penduduk sekitar terbabit turut menunjukkan beberapa kaedah yang betul proses kitar semula antaranya mengasingkan jenis-jenis barangan.

Selain itu, penduduk turut didedahkan dengan bahaya pembelian barangan berasaskan bahan kimia tinggi seperti pelembut fabrik yang mana sisa bahan tersebut akan memasuki sistem perairan dan mencemarkan sungai selepas digunakan.

Turut diadakan adalah pameran mengenai pencemaran sungai dan sisa organik.